GEORGE TOWN, 25 Mac — Tindakan polis menyaman pemilik kenderaan terutama penduduk di Jelutong yang meletakkan kenderaan mereka di tepi jalan dalam Ops Halangan pada Selasa lepas adalah mengikut peraturan, kata Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Sahabudin Abd Manan.

Beliau berkata operasi bersama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) itu dijalankan susulan aduan kesesakan teruk di beberapa kawasan di daerah Timur Laut berpunca daripada penduduk meletakkan kenderaan di tepi jalan yang bukan tempat parkir di kawasan berhampiran kediaman masing-masing sehingga menghalang lalu lintas.

“Memang sebelum ini penduduk di situ tidak dikenakan tindakan atau saman tapi tidak semestinya mereka betul, polis menjalankan operasi itu sebab terima aduan daripada orang ramai (berhubung kesesakan teruk).

“Malah pemeriksaan dalam Ops Halangan tersebut mendapati mereka yang disaman memang salah dan tidak mengikut peraturan kerana meletakkan kenderaan bukan di kawasan parkir,” katanya kepada pemberita selepas perbarisan sempena sambutan Hari Polis ke-214 peringkat Kontijen Pulau Pinang di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan akhbar Ahli Parlimen Jelutong R.S.N. Rayer yang meminta pencerahan daripada Polis DiRaja Malaysia (PDRM) berhubung saman dikeluarkan di kawasan terbabit kerana penduduk tidak membuat halangan seperti didakwa sebaliknya hanya meletakkan kenderaan di bahu jalan di kawasan kediaman sejak lebih 25 tahun lepas.

Rayer juga dilaporkan berkata beliau mewakili penduduk yang dikenakan saman merayu kepada PDRM supaya membatalkan saman tersebut dan menurutnya sebanyak 167 saman dikeluarkan di seluruh kawasan Jelutong.

Pada Selasa, polis mengeluarkan sebanyak 200 saman menerusi Ops Halangan dan kebanyakan pemilik kenderaan didapati tidak meletakkan kenderaan mereka dengan betul sehingga menghalang lalu lintas serta kesesakan teruk di kawasan tersebut.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Sahabudin berkata pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang telah melancarkan operasi berskala besar dalam usaha membanteras kegiatan memproses dan mengedar dadah serta berjaya merampas pelbagai jenis bahan terlarang itu membabitkan nilai RM33 juta bagi tempoh dua bulan pertama tahun ini.

“Bagi tempoh sama lebih lima makmal proses dadah telah dibongkar dan seramai 1,271 orang ditahan termasuk pengedar serta penagih dadah. Pada tahun lepas pasukan JSJN negeri berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM43.7 juta,” katanya.

Selain itu, beliau berkata Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) juga meningkatkan kempen kesedaran kepada orang ramai terutama berhubung sindiket penipuan kerana sepanjang tahun lepas sebanyak 2,456 kes penipuan membabitkan kerugian RM181.7 juta direkodkan di Pulau Pinang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here