SIBU, 19 April — Kira-kira 80 peratus daripada lebih 300,000 penduduk di Bahagian Sibu telah mendaftar untuk Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, peratusan tertinggi yang direkodkan di Sarawak ketika ini.

Pemangku Residen Bahagian Sibu Wong Hee Sieng berkata peratusan itu termasuk mereka yang telah mendaftar secara manual dan melalui aplikasi MySejahtera.

“Rekod di MySejahtera sehingga kini adalah kira-kira 50 peratus. Jumlah itu akan meningkat setelah data mereka yang mendaftar secara manual dimasukkan ke dalam aplikasi MySejahtera,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran fasa kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di Stadium Tertutup Sibu di sini.

Program itu dilancarkan oleh Menteri Muda Perumahan dan Kesihatan Awam Dr Annuar Rapaee yang juga Penyelaras Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Sibu.

Wong yang juga Pengerusi JPBB Sibu berkata jawatankuasa itu menyasarkan 70 peratus atau kira-kira 250,000 penduduk Sibu menerima vaksin bagi mencapai sasaran imuniti kelompok.

Dr Annuar berkata sejumlah 924 warga emas yang berusia atas 75 tahun telah disenaraikan untuk program imunisasi sehari itu, yang turut merangkumi 140 petugas perubatan barisan hadapan yang belum menerima dos kedua vaksin Pfizer mereka.

Beliau berkata program imunisasi peringkat seterusnya di Sibu akan bergantung pada ketersediaan bekalan vaksin.

Sibu adalah bahagian pertama di Sarawak yang memulakan program imunisasi fasa kedua, diikuti Kuching, Serian, Sri Aman, Betong, Kapit, Mukah dan Miri pada 23 April manakala Bahagian Samarahan, Bintulu dan Limbang pada 24 April sementara Bahagian Sarikei pada 30 April.

Sementara itu, seorang pesara jabatan perubatan, Tamby Sulaiman Siong @ Tamby Chin, 84, yang hadir untuk menerima dos pertama vaksinnya memberitahu bahawa prosedur itu tidak menyakitkan.

Dua lagi penerima vaksin, Lau Ai Ting, 84, dan suaminya Chiew Sing Ling, 85, pula berkata mereka tidak mengalami sebarang komplikasi selepas divaksinasi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here