KOTA KINABALU, 19 April — Warga emas yang menerima suntikan vaksin COVID-19 pada fasa kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan peringkat negeri bermula hari ini, mengajak lebih ramai rakyat di negeri ini terutama generasi muda untuk mandaftar sebagai penerima vaksin itu.

Datuk Noni Said, 70, yang juga bekas Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah berkata, orang ramai tidak perlu bimbang untuk menerima suntikan vaksin itu, kerana petugas kesihatan yang terlibat akan memastikan penerima vaksin dalam keadaan baik dan vaksin itu telah disahkan selamat untuk digunakan.

“Penilaian dan pemeriksaan kesihatan penerima vaksin dilakukan petugas kesihatan adalah bertujuan untuk memastikan penerima vaksin ini dalam keadaan baik, dan diberi panduan untuk rujukan temu janji yang akan datang.

“Saya bersyukur kerana sudah diberi peluang untuk menerima vaksin dan saya mengajak semua untuk mendaftar vaksinasi, kerana ini merupakan salah satu cara untuk kita bersama memerangi penularan COVID-19,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau merupakan seorang daripada 250 penerima vaksin pada majlis pelancaran fasa kedua program berkenaan, disempurnakan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Shahelmey Yahya, mewakili Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor di sini.

Shahelmey dalam majlis sama turut menggesa rakyat Sabah, untuk segera mendaftar dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, berikutan jumlah individu mendaftar menyertai program itu di negeri ini masih rendah iaitu seramai 426,934 orang setakat 17 April lepas.

Noni berkata, beliau pada awalnya berasa gementar tetapi selepas diberi taklimat oleh petugas kesihatan, beliau berasa tenang mematuhi arahan yang diberikan oleh petugas kesihatan sewaktu penilaian dan pemeriksaan kesihatan dijalankan.

Ong Tee Joh, 83, yang turut menerima vaksin itu hari ini berkata, orang ramai terutamanya golongan muda tidak perlu takut dengan program vaksinasi ini, kerana ia bertujuan untuk memulihkan keadaan dan kehadiran beliau hari ini, membuktikan beliau menjalankan tanggungjawab sebagai seorang warganegara.

Chai Pun Fah, 82, penghidap penyakit kronik berkata, petugas kesihatan telah memberikan layanan yang amat baik kepadanya, yang membolehkan dirinya melalui proses vaksinasi itu dengan baik dan setakat ini tidak mempunyai apa-apa masalah setelah menerima suntikan tersebut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here