ALOR SETAR, 24 April — Masyarakat pengguna di negeri ini resah apabila harga minyak masak dalam botol bersaiz lima kilogram (kg) naik mendadak sejak Januari lepas.

Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) Mohd Yusrizal Yusoff berkata tinjauan pihaknya mendapati rata-rata harga minyak lima kilogram di kedai serbaneka, pasar mini dan pasar raya adalah antara RM28 hingga RM34 berbanding RM25 hingga RM27, pada tahun lepas.

“Kami dapati berlaku lagi peningkatan harga (minyak masak) menjelang sambutan Aidilfitri kali ini. Pengguna rasa terbeban tetapi terpaksa juga membuat pembelian kerana perlu menggunakannya dalam kuantiti yang banyak ketika musim perayaan ini.

“Ramai pengguna yang terjejas akibat COVID-19. Jadi, saya berharap peniaga dan pemborong tidak menaikan harga barangan termasuk minyak masak sesuka hati hanya kerana ingin mengaut keuntungan,” katanya selepas mengadakan tinjauan minyak masak di Lorong Kilang Ais di sini, hari ini.

Sehubungan itu, katanya CAKE berharap minyak masak serta beberapa barangan lain dapat disenaraikan di dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) 2021 yang dikuat kuasakan bermula 21 April lepas hingga 20 Mei depan.

“Sebelum ini, minyak masak memang berada di bawah skim perayaan ini tetapi untuk tahun ini ia tidak disenaraikan, jadi kita harap kerajaan boleh pertimbangkan kerana penggunaan minyak masak semasa musim perayaan memang tinggi,” katanya.

CAKE turut mencadangkan agar beberapa barangan lain seperti santan, kerisik dan sayur-sayuran dimasukkan dalam skim tersebut memandangkan senarai 12 barangan sedia ada di dalam skim itu terlalu sedikit.

Sebelum ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah mengenal pasti 12 jenis barangan bagi pelaksanaan SHMMP 2021 iaitu ayam hidup, ayam standard, ayam super, daging lembu tempatan, daging lembu import, telur ayam gred A, B dan C, ikan kembung termasuk ikan mabung, ikan selayang dan ikan tongkol.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here