KUALA LUMPUR, 30 April — Orang ramai boleh menunjukkan sokongan mereka kepada atlet kebangsaan yang akan bersaing di Olimpik Tokyo bermula 23 Julai hingga 8 Ogos depan dengan menyertai larian maya  #RUNwithOLYMPIANS #RUNforOLYMPISM.

Dianjurkan secara bersama oleh Persatuan Olympian Malaysia dan Malaysia Olympism in Action Society (MOiAS), larian tersebut akan diadakan dari 1 hingga 22 Jun bersempena sambutan Hari Olimpik Sedunia pada 23 Jun.

“MOA dan MOiAS juga ingin mengambil peluang ini untuk mendidik masyarakat dengan semangat ‘Olimpisme’ dan menggalakkan rakyat Malaysia mengamalkan gaya hidup aktif dan lebih sihat.

“Larian ini merupakan usaha berpasukan secara maya untuk menamatkan jumlah terkumpul minimum 127 kilometer dalam tempoh 22 hari. Setiap pasukan perlu dianggotai minimum dua orang dan maksimum 15 orang dengan jarak larian minimum untuk seorang ialah lima km,” kata penganjur dalam kenyataan hari ini.

Jarak 127 km itu dipilih sebagai meraikan penubuhan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa pada 23 Jun 1894 di Paris, Perancis oleh Baron Pierre de Coubertin, bapa Sukan Olimpik Moden.

Penganjur berkata peserta mempunyai pilihan sama ada membentuk pasukan sendiri atau menyertai kumpulan yang akan diketuai oleh Olympian Malaysia misteri yang akan diumumkan pada 1 Jun, sementara pasukan yang menamatkan jarak 127 km itu pula akan layak menyertai cabutan bertuah secara maya pada 23 Jun.

Setiap peserta akan dikenakan bayaran pendaftaran RM50 dengan RM5 didermakan kepada Epic Homes.

Pendaftaran dibuka esok (1 Mei) menerusi www.getbiib.com/events.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here