KAJANG, 22 Mei — Tindakan satu sindiket penyeludupan rokok menjadikan sebuah rumah teres dua tingkat sebagai stor simpanan rokok dengan dikawal pengawal keselamatan terbongkar berikutan penahanan dua lelaki dalam serbuan berasingan di Kajang dan Semenyih, Khamis lepas.

Pemangku Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Azri Ahmad berkata dalam serbuan pada  1 tengah hari dan 11 malam itu, pihaknya merampas 13,462 karton rokok pelbagai jenama anggaran nilai  RM1.33 juta dan cukai RM1.69 juta. 

Menurutnya serbuan yang dilakukan Batalion 4 Pasukan Gerakan Am Semenyih, Selangor itu turut merampas dua kenderaan dan tiga telefon bimbit dengan keseluruhan rampasan dianggarkan RM3,091,322 juta.

Katanya seorang lelaki berumur 36 tahun ditahan bersama sebuah kenderaan yang membawa rokok seludup di Semenyih, manakala seorang lagi lelaki berumur 34 tahun ditahan di rumah teres dua tingkat itu di Kajang.

“Siasatan mendapati sindiket menggunakan sebuah rumah teres dua tingkat yang dikawal pengawal keselamatan di Jalan Kajang East, Kajang sebagai stor dan tempat menjual rokok seludup yang dipercayai dibawa masuk daripada Indonesia melalui jalan laut.

“Sindiket ini mengaut keuntungan RM30,000 sebulan dan dipercayai menjalankan aktiviti tersebut sejak empat tahun lepas untuk pasaran di sekitar Kajang, Semenyih, Nilai dan Bangi,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di sini, hari ini.

Azri berkata sindiket ini menggunakan pelbagai cara untuk membawa masuk rokok seludup susulan situasi negara yang menguatkuasakan arahan sekatan pergerakan rentas negeri dan daerah.

Ini termasuk mengupah beberapa individu sebagai pemandu untuk mengambil rokok tersebut di beberapa lokasi yang ditetapkan sebelum dihantar ke stor penyimpanan, katanya.

Beliau berkata kedua-dua suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau direman tujuh hari sehingga 27 Mei ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.

Azri berkata pelbagai kejayaan diperoleh hasil Op Kontraban dilakukan bagi tujuan membanteras kegiatan jenayah penyeludupan terutamanya rokok dan minuman keras.

Jelasnya susulan itu, pihaknya akan menjalankan siasatan daripada penahanan beberapa individu dalam operasi tersebut bagi mengenal pasti rangkaian atau kartel yang mendominasi sindiket penyeludupan rokok dan minuman keras di negara ini.

“Kita ada buat beberapa tangkapan dan daripada itu kita akan kenal pasti rangkaian mereka. Setakat ini kita belum boleh dedahkan…kita tahu rangkaian mereka ini ada di luar negara. Sindiket ini akan menghantar bekalan apabila adanya permintaan daripada rangkaian di negara ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here