akariaPUTRAJAYA, 14 Jan — Penggunaan aplikasi mudah alih Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (MyNIISe) tidak diwajibkan buat masa ini dan pengembara boleh menggunakan pelbagai kaedah sedia ada bagi pelepasan imigresen di pintu masuk negara.
Antara kaedah pelepasan imigresen itu adalah penggunaan kod respons pantas (QR) menerusi aplikasi MyBorderPass, kaedah manual atau pagar automatik konvensional selain MyNIISe.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata buat masa ini, masyarakat tidak perlu gusar sekiranya mereka tidak menggunakan sistem MyNIISe kerana Jabatan Imigresen (JIM) menyediakan pelbagai pilihan bagi proses pelepasan imigresen.
“Dari segi penggunaan MyNIISe ini, ia bukan satu perkara yang mandatori sekarang ini dan masyarakat masih ada pilihan lain untuk melepasi autogate (sistem pagar automatik) kita, iaitu bukan sahaja guna QR kod tetapi masih boleh gunakan pasport.
“Imbasan pasport itu sendiri (masih boleh digunakan) jika tidak ada aplikasi (MyNIISe). Masyarakat sekarang tidak perlu gusar,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan amanat kepada warga JIM, di sini hari ini.
Bagaimanapun, beliau menyarankan orang ramai menggunakan aplikasi MyNIISe kerana ia menawarkan tempoh pelepasan imigresen yang cepat dan efisien berbanding kaedah manual dan pagar automatik lain.
“Bagi mereka yang nak guna QR kod, dia perlu muat turun aplikasi MyNIISe dan bagi mendaftar mereka kena ada MyDigital ID. Itu sahaja dan dari segi keseluruhan pelepasan pemeriksaan imigresen tidak akan mengganggu,” katanya.
Mengenai MyBorderPass, Zakaria berkata aplikasi itu masih dikekalkan sehingga ia diambil alih sepenuhnya melalui sistem MyNIISe dan tempoh masa peralihan itu masih belum dapat dipastikan oleh JIM.
“Proses secara berperingkat untuk pergantian semua autogate yang lama dulu,” katanya.
Pada 6 Jan lepas, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengumumkan bahawa ia akan memulakan penggunaan MyDigital ID sebagai platform log masuk tunggal bagi rakyat Malaysia yang menggunakan aplikasi mudah alih MyNIISe bermula esok (15 Jan).
Menurut KDN, pelaksanaan MyDigital ID sebagai sistem log masuk tunggal merupakan sebahagian daripada inisiatif pelaksanaan MyNIISe, yang bertujuan mengesahkan identiti pengguna secara tepat dan selamat melalui pangkalan data Jabatan Pendaftaran Negara tanpa menyimpan data peribadi pengguna.
Aplikasi MyNIISe mula digunakan pada 22 Sept lepas di pintu masuk negara di Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar di Johor Bahru, Johor dan akan diperluas secara berperingkat ke Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA Terminal 1 dan 2, Bayan Lepas, Kuching serta Kota Kinabalu.
Hingga 30 Dis lepas, MyNIISe mencatatkan 599,967 muat turun dengan 287,258 pengguna berdaftar.
















Tinggalkan Balasan