Agong Perkenan Pengampunan Bersyarat Najib, Jalani Baki Hukuman Di Rumah

KUALA LUMPUR, 18 Sept — Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini memperkenan pengampunan bersyarat kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028.

Perintah itu tertakluk sekiranya Najib membayar denda RM50 juta.

Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri memaklumkan perintah itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-64 Bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang diadakan di Istana Negara hari ini.

“Beliau hendaklah mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan dan sekiranya beliau tidak mematuhi mana-mana syarat tersebut, maka pengampunan bersyarat ini adalah terbatal dan hendaklah secara serta-merta meneruskan baki hukuman di penjara,” menurut kenyataan itu.

Najib, 73, sedang menjalani hukuman penjara itu di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022.

Kes yang telah disabitkan melibatkan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd manakala kes yang masih dalam perbicaraan  ialah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) iaitu di peringkat rayuan di Mahkamah Rayuan.

Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong dan dianggotai Peguam Negara, Menteri yang bertanggungjawab terhadap Wilayah Persekutuan serta tiga anggota lain yang dilantik Seri Paduka Baginda.

Istana Negara menjadi tumpuan pengamal media sejak awal pagi ini bagi mengikuti perkembangan berkaitan Mesyuarat Lembaga Pengampunan itu.

Terdahulu, kenderaan membawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh dan Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dilihat memasuki pintu utama Istana Negara bagi menghadiri Mesyuarat Lembaga Pengampunan itu.

Hannah kemudian dilihat meninggalkan Istana Negara terlebih dahulu, diikuti Mohd Dusuki pada 9.43 pagi selepas menghadiri mesyuarat berkenaan.

Pada Julai 2020, Mahkamah Tinggi di sini menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib selepas didapati bersalah atas pertuduhan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd dan hukuman itu kemudiannya dikekalkan Mahkamah Rayuan pada Disember 2021 dan Mahkamah Persekutuan pada Ogos 2022.

Bagaimanapun menerusi mesyuarat ke-61 pada 29 Jan 2024, Lembaga Pengampunan memutuskan bahawa hukuman penjara bekas Ahli Parlimen Pekan itu dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun dan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.  

Sementara itu pada 26 Dis tahun lepas, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion ke atas bekas perdana menteri itu selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM2.3 bilion daripada dana 1MDB.

Beliau memfailkan rayuan pada 29 Dis 2025.

Dalam kes sivil pula, Mahkamah Tinggi pada 31 Mac lepas memerintahkan Najib membayar balik USD1.3 bilion kepada SRC International selepas didapati melanggar tanggungjawab fidusiari, menyalahgunakan kedudukan serta menyeleweng dana syarikat untuk kepentingan peribadi, namun pembayaran itu ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuan. 

Najib turut berdepan dua lagi saman, masing-masing oleh SRC International dan Gandingan Mentari Sdn Bhd pada 2021 serta saman sivil USD5.64 bilion oleh 1MDB dan empat anak syarikatnya, yang masih dalam prosiding mahkamah.