KUALA LUMPUR, 17 Jan — UMNO mencadangkan agar peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dikembalikan dalam sistem pendidikan negara.
Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata parti itu telah memberi mandat kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, yang juga Menteri Pendidikan Tinggi, untuk membawa usul berkenaan kepada kerajaan.
“Kita mahu kedua-dua peperiksaan ini dilaksanakan semula dan bagi tujuan itu, Zambry akan diberi tanggungjawab untuk membawa mandat ini,” katanya dalam ucapan penggulungan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.
Ahmad Zahid, yang juga Timbalan Perdana Menteri, turut menyatakan saranan UMNO agar kerajaan mewujudkan satu akta perlindungan guru di negara ini bagi memastikan warga pendidik dilindungi ketika melaksanakan disiplin terhadap pelajar.
“Ini juga berkaitan beban tugas dan kebajikan guru-guru, kerana pada zaman dahulu, kalau murid kena rotan dengan guru, balik rumah, bila anak-anak mengadu kepada ibu bapa, mereka ditambah lagi rotan, berbeza dengan sekarang,” katanya.

















Tinggalkan Balasan