JOHOR BAHRU, 14 Feb — Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor menumpaskan aktiviti penjualan lampu sembahyang, yang disyaki melanggar hak cipta di sekitar Batu Pahat dan Johor Bahru, semalam.
Pengarahnya Lilis Saslinda Pornomo berkata rampasan berkenaan dilakukan menerusi serbuan ke atas tiga lokasi berbeza, iaitu sebuah gudang penyimpanan dan dua premis perniagaan menjual alatan sembahyang bagi kaum Cina.
Beliau berkata sebuan dilaksanakan hasil risikan dan pemantauan kira-kira sebulan terhadap kedua-dua premis itu oleh anggota penguat kuasa KPDN Johor dengan kerjasama pemilik hak cipta karya berkenaan.
“Pemeriksaan awal mendapati gudang dan premis tersebut telah melanggar karya seni yang telah berdaftar dan dilindungi hak cipta. Menerusi pemeriksaan lanjut oleh pemilik hak cipta sebanyak 818 unit lampu sembahyang telah disita dengan nilai rampasan sebanyak RM56,791.86.
“Kes akan disiasat di bawah Seksyen Akta Hak Cipta 1987 kerana melakukan pelanggaran hak cipta,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata pihaknya juga sedang menyiasat sekiranya gudang dan premis berkenaan mempunyai kaitan antara satu sama lain.
















Tinggalkan Balasan