Ukraine Sedia Untuk Perjanjian Bagi Keamanan Sebenar: Zelensky

KYIV, 15 Feb — Ukraine bersedia untuk mencapai satu perjanjian yang mampu membawa keamanan sebenar, kata Presiden Volodymyr Zelensky pada Sabtu di Munich, Jerman, menurut agensi berita Ukrinform, lapor Xinhua.

“Ukraine bersedia untuk satu perjanjian yang akan membawa keamanan sebenar kepada kami, kepada Ukraine, kepada Eropah,” katanya ketika berucap pada Persidangan Keselamatan Munich, sambil menambah bahawa krisis itu boleh ditamatkan dengan penuh bermaruah. “Itulah yang paling penting bagi kami,” kata Zelensky.

Menurut beliau, Eropah secara praktikalnya tidak berada di meja rundingan, yang disifatkannya sebagai satu “kesilapan besar”.

Rakyat Ukraine sedang berusaha untuk melibatkan sepenuhnya Eropah dalam proses rundingan supaya “kepentingan Eropah dan suara Eropah diambil kira”.

Beliau menambah bahawa Ukraine akan melakukan segala usaha untuk memastikan rundingan itu berjaya dan sedang berhubung secara berterusan dengan wakil Amerika Syarikat (AS).