SINGAPURA, 17 Feb — Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong mengucapkan tahniah kepada rakan sejawatnya, Tarique Rahman, atas kemenangan beliau dalam pilihan raya umum Bangladesh pada 12 Feb.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar berkata Wong telah mengirim surat tahniah kepada Tarique pada Selasa, dengan menegaskan semula sokongan berterusan terhadap Bangladesh dalam usaha pembangunannya.
“Mandat kuat yang anda terima mencerminkan keyakinan dan kepercayaan yang diberikan oleh rakyat Bangladesh kepada anda untuk memacu negara ke hadapan,” kata Wong, menurut teks surat yang dilampirkan bersama kenyataan itu.
Wong, yang juga merupakan Menteri Kewangan, menekankan bahawa Singapura dan Bangladesh menikmati hubungan mesra dan lama yang terbina atas asas kukuh rasa hormat bersama serta hubungan sesama rakyat.
“Terdapat potensi besar untuk memperdalam dan memperluas kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pengurusan pelabuhan, pendigitalan, serta pembinaan kapasiti.
“Saya berharap dapat bekerjasama dengan anda untuk memperkukuh lagi persahabatan antara negara kita,” tambahnya.
Tarique, 60, mengangkat sumpah sebagai perdana menteri baharu Bangladesh pada Selasa di parlimen kebangsaan Jatiya Sangsad di Dhaka.













Tinggalkan Balasan