Agong, Raja Permaisuri Zahir Ucapan Selamat Menyambut Ramadan


KUALA LUMPUR, 18 Feb — Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah menzahirkan ucapan selamat menyambut Ramadan Al-Mubarak kepada seluruh umat Islam di negara ini.

Menerusi hantaran di laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini, Seri Paduka Baginda berdua menyeru rakyat agar memanfaatkan bulan penuh keberkatan dengan memperbanyakkan ibadah, memperkukuh perpaduan serta menyemarakkan semangat saling membantu antara satu sama lain.

“Saya dan Raja Permaisuri Agong mendoakan Malaysia sentiasa dilimpahi rahmat dan keberkatan, serta seluruh rakyat dikurniakan kesejahteraan, keamanan dan keharmonian,” titah Seri Paduka Baginda berdua.

Umat Islam di seluruh negara mula berpuasa esok.