SEGAMAT, 18 Feb — Seorang lelaki tempatan berusia 30-an cedera parah sehingga kudung kaki kirinya akibat terkena letupan bunga api di Taman Damai Jaya, Bukit Siput di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Segamat Supt Mohd Jumazanzahir Chek Ismail berkata dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah malam itu, mangsa mengalami kecederaan serius dan dikejarkan ke zon merah Hospital Segamat untuk rawatan.
Beliau berkata pegawai perubatan yang bertugas mengesahkan mangsa mengalami kecederaan putus kaki kirinya di bawah bahagian lutut dan kini berada dalam keadaan stabil.
“Hasil siasatan mendapati mangsa dipercayai bermain bunga api jenis ‘shoot cake 4 (D) 16 shot’ (premium) di hadapan rumah sempena sambutan Tahun Baharu Cina.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 6 dan 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan polis menasihatkan agar masyarakat bermain bunga api yang dibenarkan di kawasan tanah lapang, di samping mengamalkan langkah-langkah keselamatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

















Tinggalkan Balasan