China Senarai Hitam 20 Entiti Jepun Di Bawah Kawalan Eksport

Kementerian Perdagangan China pada Selasa mengumumkan senarai 20 entiti Jepun yang dimasukkan ke dalam senarai kawalan eksport.

Langkah tersebut dibuat berdasarkan Undang-Undang Kawalan Eksport China serta Peraturan Kawalan Eksport Barangan Dua Guna, bagi melindungi keselamatan dan kepentingan negara serta memenuhi kewajipan antarabangsa berkaitan pencegahan percambahan.

Antara entiti yang disenaraikan termasuk Mitsubishi Shipbuilding Co., Ltd serta syarikat lain yang didakwa terlibat dalam usaha meningkatkan keupayaan ketenteraan Jepun.

Dibawah langkah baharu itu, semua pengeksport dilarang mengeksport barangan dua guna kepada 20 entiti berkenaan

Selain itu organisasi dan individu asing dilarang memindahkan atau membekalkan barangan item dua guna yang berasal dari China kepada 20 entiti terbabit. 

Malah perniagaan berkaitan yang sedang dijalankan mesti dihentikan secara serta-merta.

Dalam keadaan khas yang memerlukan eksport, pengendali perlu mengemukakan permohonan kepada Kementerian Perdagangan China untuk kelulusan.

Langkah tersebut berkuat kuasa serta merta dari tarikh pengumuman.