Lima Maut Dalam Serangan Udara Israel Di Selatan Lubnan

ISTANBUL, 11 Mac — Lima orang maut dalam siri serangan udara Israel yang menyasarkan beberapa kawasan di selatan Lubnan pada Selasa, lapor Anadolu Ajansi yang memetik media rasmi.

Agensi Berita Nasional Lubnan (NNA) melaporkan sebuah dron menyerang sebuah kereta di  perbandaran Qlaileh di daerah Tyre, menyebabkan dua orang maut.

Satu lagi serangan Israel mengorbankan Datuk Bandar bandar Jouya di Tyre serta seorang ahli majlis perbandaran.

Seorang lelaki warga Lubnan turut terkorban dalam serangan Israel ke atas rumahnya di bulatan Kfarjouz di bandar Nabatieh, menurut agensi itu.

Tentera Israel melancarkan beberapa serangan udara di selatan Lubnan pada Selasa, tidak lama selepas mengeluarkan arahan pemindahan segera kepada penduduk di kawasan selatan Sungai Litani.

Israel dan Amerika Syarikat meneruskan serangan bersama ke atas Iran sejak 28 Feb lepas, mengorbankan lebih 1,200 orang serta mencederakan lebih 10,000 yang lain.

Konflik itu merebak ke Lubnan, dengan Israel melancarkan serangan udara yang setakat ini mengorbankan lebih 570 orang, mencederakan lebih 1,400 serta menyebabkan ribuan penduduk kehilangan tempat tinggal sejak 2 Mac lepas.