DBKL Perluas Laluan Percuma Bas GOKL11 Ke Hospital Rehabilitasi Cheras

KUALA LUMPUR, 18 Mac — Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan memperluaskan laluan percuma bas GOKL11 untuk laluan MRT Maluri-Bandar Tun Razak dengan menyediakan hentian baharu di dalam kawasan Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) mulai 1 April ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata inisiatif itu bertujuan memudahkan akses pengangkutan awam kepada pesakit, waris dan warga kota yang mendapatkan rawatan di hospital berkenaan.

“Ini terutamanya untuk golongan warga emas yang dijangka mencecah 11.7 peratus menjelang tahun 2030 di Kuala Lumpur.

“Laluan baharu ini diumumkan selepas pihak hospital berjumpa Datuk Bandar pada Februari lepas dan atas permintaan hospital, laluan ini akan masuk ke HRC untuk warga kota yang memerlukan rawatan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Turut hadir Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Ahli Parlimen Cheras Tan Kok Wai dan Pengarah Kesihatan Negeri Kuala Lumpur dan Putrajaya Datin Dr Haliza Abdul Manaf.

Hannah berkata inisiatif itu merupakan sebahagian usaha Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) untuk merakyatkan fasiliti kerajaan supaya kemudahan kesihatan bukan sahaja tersedia tetapi mudah diakses oleh semua terutamanya pesakit yang berdepan cabaran mobiliti.

Beliau memaklumkan bahawa JWP sedang mengkaji dasar mesra warga emas di kota dan akan mengumumkan inisiatif terbaharu berkaitan perkhidmatan untuk membantu golongan itu pada bulan hadapan.

Sementara itu, Dr Wan Azizah yang juga isteri Perdana Menteri berkata HRC merupakan satu-satunya hospital rehabilitasi khusus di Kuala Lumpur yang menyediakan perkhidmatan pemulihan komprehensif kepada pesakit pasca kecederaan, strok serta penyakit kronik.

“Peranan hospital ini amat penting dalam membantu pesakit memulihkan fungsi fizikal, meningkatkan mobiliti dan seterusnya memperbaiki kualiti hidup mereka. Tahun lepas kita telah memberi sumbangan untuk kerja penukaran peralatan hospital ini untuk memperbaiki khidmat mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Tan berkata HRC turut akan melaksanakan Program Kesejahteraan Geriatrik dan Komuniti Warga Emas Zon Cheras di kawasan padang hospital.

Beliau berkata program itu menggabungkan rehabilitasi, aktiviti fizikal dan penglibatan komuniti bagi menyokong pemulihan pesakit serta kesejahteraan warga Kuala Lumpur.