TOKYO, 29 Mac — Sebuah air pancut mega yang menampilkan pertunjukan air dibuka di tepi pantai Odaiba, Tokyo pada Sabtu dan dijangka menjadi mercu tanda baharu di ibu negara itu, lapor Kyodo News.
Tokyo Aqua Symphony, yang disifatkan oleh kerajaan metropolitan itu sebagai antara air pancut terbesar di dunia, boleh menembak air setinggi 150 meter, menjangkau 250 meter dan menampilkan motif bunga sakura.
Pertunjukan koreografi jet air dengan muzik dan lampu dirancang di air pancut itu, dengan potensi menarik 30 juta orang setiap tahun dan menjana impak ekonomi sebanyak 9.8 bilion yen (USD61 juta), menurut kerajaan Tokyo.
Pembinaan di Odaiba Seaside Park bermula pada Julai tahun lepas, menelan belanja kira-kira 2.6 bilion yen.
Kos operasi tahunan dijangka berjumlah sekitar 200 juta yen.
Pada majlis pada Sabtu sempena pembukaan air pancut itu, Gabenor Tokyo Yuriko Koike berkata, “Kami berharap dapat mencipta aliran pengunjung baharu dan akan berusaha untuk menjadi sebuah bandar yang boleh menghiburkan orang ramai siang dan malam.”
Penonton bertepuk tangan menyaksikan persembahan air dan cahaya, dengan mercu tanda seperti Menara Tokyo dan Jambatan Pelangi sebagai latar belakang.













Tinggalkan Balasan