KUALA LUMPUR, 24 April — Bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat Tun Ramli Ngah Talib dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang kesembilan berkuat kuasa 1 Mei 2025.
Beliau menerima surat cara pelantikan itu daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dalam Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang di Singgahsana Kecil, Istana Negara di sini hari ini.
Pada istiadat sama, Ramli, 84, turut dikurniakan Darjah Kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara (SMN) yang membawa gelaran Tun.
Ramli dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang mengikut Perkara 1 Perlembagaan Negeri Pulau Pinang, bagi tempoh empat tahun bermula 1 Mei 2025 hingga 30 April 2029.
Pelantikan Ramli bagi menggantikan Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak yang menyandang jawatan itu bermula 1 Mei 2021.
Istiadat pengurniaan itu turut disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.
Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul, Yang Dipertua Dewan Negara Senator Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah, Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong dan Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying.
Ramli pernah menyandang jawatan penting di peringkat Persekutuan dan negeri, antaranya sebagai Menteri Besar Perak kelapan selama 17 tahun bermula 1982 hingga 1999.
Tinggalkan Balasan