TNB Nafi Dakwaan Kenaikan Tarif Elektrik Mulai April

KUALA LUMPUR, 1 April — Tenaga Nasional Bhd (TNB) menafikan dakwaan tular di media sosial mengenai kenaikan tarif elektrik bermula bulan ini, sambil menyifatkan maklumat berkenaan sebagai tidak benar dan mengelirukan.

Menerusi kenyataan di Facebook, TNB menjelaskan sebarang pelarasan kos elektrik ketika ini tertakluk kepada Mekanisme Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA).

Menurut syarikat utiliti itu, mekanisme AFA yang dilaksanakan sejak Julai 2025 ditentukan berdasarkan perubahan harga bahan api global serta kadar pertukaran mata wang asing, dengan pelarasan dibuat secara bulanan dan disahkan oleh Suruhanjaya Tenaga (ST).

TNB turut memaklumkan akan melaporkan penyebaran maklumat palsu berkenaan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk tindakan lanjut bagi membendung penularan berita tidak sahih dalam kalangan masyarakat.

Syarikat itu juga menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan kesahihannya bagi mengelakkan kekeliruan serta keresahan awam.

Pengguna disaran merujuk saluran rasmi TNB bagi mendapatkan maklumat tepat mengenai sebarang perubahan berkaitan kadar elektrik negara.

“Sebarang pertanyaan atau maklumat meragukan boleh disalurkan melalui mesej secara terus di Facebook TNB Careline dan platform X @Tenaga_Nasional atau e-mel ke CareLine@myTNB.my,” katanya.