KUALA LUMPUR, 7 Okt — Malaysia memanfaatkan kepakaran teknikal Jepun bagi mempercepat peralihan ke arah ekonomi kitaran dan mencapai sasaran kadar kitar semula kebangsaan sebanyak 53 peratus menjelang 2035.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata kerjasama yang diperbaharui menerusi pemeteraian Memorandum Kerjasama (MoC) hari ini dibina atas asas kejayaan pelbagai inisiatif pengurusan sisa antara kedua-dua negara sejak lebih sedekad lepas.
“Malaysia amat menghargai sokongan berterusan Jepun sejak 2010. Antara hasil kerjasama ini ialah Pelan Strategik Pengurusan Sisa Makanan di Malaysia 2010-2016 dan Garis Panduan Teknikal Pemilihan Teknologi Pengurusan Sisa Pepejal pada 2023.
“Seiring dengan munculnya keutamaan baharu, kini adalah masa yang tepat untuk memperbaharui kerjasama kita bagi memastikan kesinambungan serta terus memajukan matlamat bersama dalam pengurusan sisa yang mampan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
MoC itu ditandatangani susulan kunjungan hormat Menteri Negara Alam Sekitar Jepun Azemoto Shogo kepada Nga di bangunan Parlimen di sini.
Majlis pemeteraian memorandum itu disaksikan oleh Duta Besar Jepun ke Malaysia Shikata Noriyuki dan Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk Dr M Noor Azman Taib.
Nga berkata kementerian sedang menerajui strategi jangka panjang untuk mentransformasikan pengurusan sisa pepejal, termasuk menerusi penubuhan Majlis Ekonomi Kitaran Bagi Sisa Pepejal (NCEC) yang memperkenalkan Pelan Tindakan Ekonomi Kitaran bagi Sisa Pepejal, Polisi Peluasan Tanggungjawab Pengeluar (EPR) serta penggunaan teknologi sisa kepada tenaga (WTE).
Beliau berkata kedua-dua negara berkongsi matlamat yang sama untuk membangunkan ekosistem pengurusan sisa yang cekap bagi menggalakkan kesejahteraan awam, memperkukuh kitaran sumber serta menyokong peralihan ke arah ekonomi rendah karbon.
“Malaysia menetapkan sasaran untuk mencapai ekonomi neutral karbon menjelang 2050 dan kami berharap dapat menterjemahkan kerjasama ini kepada inisiatif yang lebih praktikal, khususnya melalui program pembangunan kapasiti, pemindahan teknologi serta memperkasakan pegawai dan kakitangan teknikal kita dengan kepakaran teknikal dan operasi yang lebih mantap,” katanya.
















Tinggalkan Balasan