WASHINGTON, 27 Okt — Calon presiden Brazil yang tewas, Flavio Bolsonaro mendakwa Mahkamah Agung mengarahkannya menyerahkan pasport dan melarang beliau meninggalkan negara selepas kekalahannya kepada Presiden Luiz Inacio Lula da Silva dalam pusingan penentuan pilihan raya presiden pada Ahad, lapor Anadolu Ajansi.
Menerusi video yang dimuat naik di platform X pada Isnin, senator itu berkata pegawai Polis Persekutuan menyerahkan perintah berkenaan kepadanya selepas beliau melawat bapanya, bekas Presiden Jair Bolsonaro yang kini menjalani tahanan rumah.
Menurut Bolsonaro, perintah itu dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Agung Alexandre de Moraes pada malam Ahad, sejurus selepas Lula diumumkan sebagai pemenang.
Bagaimanapun, salinan perintah mahkamah itu belum diperoleh, manakala asas perundangan bagi sekatan perjalanan berkenaan masih tidak jelas.
Bolsonaro mendakwa keputusan itu dibuat susulan kenyataan abangnya, Eduardo Bolsonaro pada 23 Okt yang mencadangkan agar beliau meninggalkan Brazil sekiranya kalah dalam pilihan raya.
“Saya tidak pernah terfikir untuk meninggalkan negara ini,” kata beliau sambil menegaskan bahawa pihaknya akan mematuhi perintah menyerahkan pasport, namun tetap akan mencabar keputusan berkenaan.
Beliau turut menyifatkan tindakan itu sebagai cubaan untuk menakut-nakutkannya dan berikrar untuk meneruskan kegiatan politik.
Bolsonaro juga mengulangi hasratnya untuk memohon pembatalan kemenangan Lula dan calon naib presidennya atas dakwaan berlaku penyelewengan dalam pengundian pada Ahad.









Tinggalkan Balasan