Lebih 4,300 Hektar Kebakaran Hutan, Tanah Masih Ditangani Di Indonesia

JAKARTA, 26 Okt — Lebih 4,300 hektar hutan dan tanah yang terjejas akibat kebakaran di enam wilayah di pulau Kalimantan dan Sumatera, Indonesia masih dalam operasi pemadaman dengan pihak berkuasa mengerahkan ribuan personel serta puluhan pesawat bagi mengawal kebakaran.

Pemangku Ketua Pusat Data, Maklumat dan Komunikasi Bencana Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Berton Panjaitan berkata setakat Ahad, operasi pemadaman masih diteruskan di kawasan seluas 3,392 hektar di tiga wilayah di Kalimantan dan 990 hektar lagi di tiga wilayah di Sumatera.

“Pelbagai strategi tindak balas terus dilaksanakan oleh kerajaan pusat dan daerah dengan bantuan sukarelawan, termasuk operasi pengubahsuaian cuaca menggunakan ais kering,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Berton berkata Kalimantan Tengah mencatatkan kawasan terjejas terbesar iaitu seluas 2,458 hektar, diikuti Kalimantan Barat (884 hektar) dan Kalimantan Selatan (52 hektar).

Di Sumatera, beliau memaklumkan bahawa Sumatera Selatan merekodkan kira-kira 889 hektar, diikuti Jambi (89 hektar) dan Lampung (12 hektar) termasuk kawasan di Taman Negara Way Kambas, manakala tiada operasi pemadaman aktif dilaporkan di Riau.

Beliau berkata sejumlah 57,050 anggota di darat dan 61 pesawat digerakkan bagi menyokong operasi pemadaman di enam wilayah berkenaan, dengan flit udara merangkumi 37 helikopter pengebom air dan 24 pesawat bagi tujuan rondaan, operasi pembenihan awan serta aktiviti sokongan lain.

Berton berkata operasi memadam kebakaran turut diteruskan di kawasan pergunungan Arjuno-Welirang di Jawa Timur, yang menyaksikan kebakaran menjejaskan kira-kira 1,090 hektar sejak 16 Okt, dengan 11 kawasan panas dikesan di kawasan Bumiaji setakat awal pagi Ahad.