LongCheer Technology Dari China Rancang Labur RM500 Juta Di Johor

JOHOR BAHRU, 1 April — Syarikat teknologi global berpangkalan di Shanghai, China, LongCheer Technology merancang melabur kira-kira RM500 juta yang dijangka bakal mewujudkan 200 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi di Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri Lee Ting Han berkata perkara itu dibincangkan dalam pertemuan menerusi lawatan rasmi kerajaan negeri ke bandar raya berkenaan.

Beliau berkata pelaburan itu bakal membuka peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang termasuk kejuruteraan, pembangunan produk dan sektor berkaitan industri elektronik moden.

Menurutnya syarikat yang ditubuhkan pada 2002 itu merupakan antara pemain utama dunia dalam bidang reka bentuk, pembuatan peranti elektronik atau pengilang reka bentuk asal (ODM) selain membangunkan pelbagai peranti pintar berjenama antarabangsa. 

“Walaupun nama LongCheer Technology mungkin tidak begitu dikenali oleh orang awam, hakikatnya teknologi yang mereka bangunkan digunakan secara meluas di seluruh dunia,” katanya menerusi hantaran di laman sosial Facebook.

Lee berkata syarikat itu terlibat dalam pelbagai pembangunan produk seperti telefon pintar, komputer berasaskan kecerdasan buatan (AI), peranti boleh pakai, kaca mata pintar dan peranti realiti campuran (MR).

“Ini menunjukkan keupayaan mereka bukan sahaja dalam pembuatan, tetapi juga dalam aspek reka bentuk, inovasi dan penyelidikan teknologi terkini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata pertemuan berkenaan turut memberi fokus kepada potensi kerjasama jangka panjang serta menonjolkan peranan Johor sebagai destinasi utama pelaburan berteknologi tinggi di rantau ini.

Menurutnya kehadiran pelabur seperti LongCheer secara tidak langsung akan membuka ruang kepada pembangunan ekosistem teknologi yang lebih maju di Johor.

Beliau berkata ia termasuklah pemindahan teknologi dan pembangunan bakat serta peluang kepada syarikat tempatan untuk menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan global.

Pelaburan itu juga katanya selari dengan hala tuju Johor untuk menjadi negeri berpendapatan tinggi berasaskan industri bernilai tambah khususnya dalam sektor elektronik, digital dan teknologi pintar. 

“Dengan kedudukan strategik Johor serta sokongan inisiatif seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), kita berada pada landasan yang tepat untuk menarik lebih banyak pelaburan berkualiti seperti ini,” katanya.