KUALA LUMPUR, 21 Mei — Huawei telah memperkenalkan tiga peranti boleh pakai baharu di Malaysia menerusi kempen “Now Is Your Spark”, sekali gus memperluas ekosistem pintarnya menerusi produk yang menumpukan kepada pemantauan kesihatan, prestasi sukan dan gaya hidup premium.
Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat teknologi itu memaklumkan produk baharu itu merangkumi siri HUAWEI WATCH FIT 5, HUAWEI WATCH ULTIMATE DESIGN Spring Edition, dan HUAWEI FreeClip 2 versi Berry Purple.
Menurut Huawei, siri WATCH FIT 5 memperkenalkan paparan yang dipertingkatkan serta keupayaan penjejakan kesihatan, termasuk ciri penilaian risiko diabetes yang pertama seumpamanya di Malaysia, yang disepadukan dalam jam tangan pintar boleh pakai menggunakan teknologi analisis isyarat vaskular tak invasif.
Ciri berkenaan direka bagi memberi kesedaran awal kepada pengguna terhadap potensi risiko kesihatan.
Edisi WATCH FIT 5 Pro turut dilengkapi fungsi pemantauan kardiovaskular termaju seperti elektrokardiogram (ECG), analisis aritmia gelombang nadi dan pengesanan kekakuan arteri, selain penjejakan tidur, pemantauan kesejahteraan emosi serta kesihatan wanita.
“Siri ini turut menyokong pemantauan tidur TruSleep 5.0, analisis HRV, penjejakan kesejahteraan emosi dan ciri pengurusan kesihatan wanita, mencerminkan tumpuan Huawei terhadap pengalaman kesihatan yang lebih menyeluruh,” menurut kenyataan itu.
Bagi peminat kecergasan, siri jam tangan pintar itu menyokong mod aktiviti, khusus untuk badminton, tenis dan pickleball, manakala model Pro untuk kegunaan sukan seperti larian denai, golf dan freediving.
Huawei turut mengumumkan kerjasama dengan Majlis Sukan Negara (MSN) bagi menyokong ekosistem pembangunan sukan Malaysia melalui platform pengiktirafan termasuk Anugerah Sukan Negara (ASN).
Penerima anugerah akan menerima produk utama Huawei sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian sukan mereka.
Siri WATCH FIT 5 ditawarkan pada harga bermula RM799 dan boleh ditempah awal mulai hari ini menerusi Huawei Experience Stores dan platform dalam talian, dengan promosi awal serta hadiah percuma ditawarkan sepanjang tempoh kempen.
Dalam pada itu, Huawei turut memperluas portfolio peranti boleh pakai premiumnya dengan melancarkan HUAWEI WATCH ULTIMATE DESIGN Spring Edition, jam tangan pintar mewah yang rekaannya dihasilkan bersama pereka barang kemas Francesca Amfitheatrof.
Ditawarkan pada harga RM17,999, jam tangan pintar itu menampilkan 99 berlian dan nilam, menyasarkan pengguna yang mencari peranti mewah yang menggabungkan hasil tukangan elegan serta memiliki fungsi kesejahteraan.
HUAWEI FreeClip 2 versi Berry Purple pula sebuah peranti audio terbuka yang direka untuk keselesaan sepanjang hari serta mempunyai ciri ketersambungan pelbagai peranti yang lancar.
Menampilkan reka bentuk Airy C-Bridge, fon telinga itu menawarkan keselesaan dan pengalaman audio yang mengasyikkan sambil membolehkan pengguna kekal peka terhadap persekitaran.
Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi Huawei atau Facebook dan Instagram.

















Tinggalkan Balasan