Sultan Selangor Tidak Mahu Perpaduan Melayu Disalah Tafsir, Kekuatan Bangsa Bantu Negara Lebih Aman

SHAH ALAM, 21 Mei — Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menegaskan perpaduan kaum Melayu tidak harus disalah tafsir sebagai usaha untuk bermusuhan dengan semua kaum lain di negara ini.

Sebaliknya, baginda bertitah kekuatan sesuatu bangsa yang hidup bersatu akan menjadikan negara lebih aman, stabil dan rakyatnya saling hormat menghormati.

“Di kesempatan sambutan Aidiladha, beta mahu agar semua kaum, bangsa dan semua agama di negara ini saling hormat menghormati sensitiviti antara satu sama lain dan hidup aman damai. 

“Sejarah telah membuktikan tamadun Islam pernah mencapai zaman kegemilangan ketika era kerajaan Uthmaniyyah apabila masyarakat berbilang bangsa hidup harmoni di bawah pemerintahan Islam,” titah baginda dalam perutusan sempena Aidiladha 2026 hari ini. 

Sultan Selangor bertitah Aidiladha mengajar umat Islam erti pengorbanan, keikhlasan dan perpaduan ummah kerana pada saat jutaan umat berhimpun di Tanah Suci tanpa mengira pangkat, bangsa dan kedudukan, mereka menunjukkan contoh perpaduan yang amat besar nilainya kepada seluruh dunia Islam.

Sehubungan dengan itu, Sultan Sharafuddin berharap orang Melayu dan umat Islam di negara ini mengambil teladan dan terus bersatu padu, tidak kira daripada kalangan pemimpin politik hingga kepada rakyat jelata. 

“Jika kita terus berpecah dan bertelingkah sesama sendiri, maka kita yang akan rugi dan lemah.

“Beta juga perhatikan sejak akhir-akhir ini, terlalu banyak pertelingkahan dan perselisihan berlaku dalam kalangan ahli politik sehingga boleh menimbulkan keresahan rakyat. 

“Semua pihak seharusnya mengambil iktibar daripada sejarah lampau apabila perpecahan orang Melayu Islam telah membuka ruang kepada pihak luar untuk mengambil kesempatan dan melemahkan kuasa serta kedudukan bangsa Melayu di tanah air sendiri,” titah baginda. 

Menerusi perutusan sempena Aidiladha itu, Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin menzahirkan ucapan selamat hari raya kepada seluruh umat Islam, khususnya rakyat di Selangor.

Baginda berdua turut mendoakan seluruh jemaah haji Malaysia dipermudah segala urusan ibadah, dikurniakan kesihatan yang baik dan kembali ke tanah air dengan selamat serta memperoleh haji yang mabrur.