SUNGAI PETANI, 21 Mei — Seorang warga emas ditahan selepas disyaki mengisi dan mengumpul minyak diesel menggunakan sebuah lori ais di sebuah stesen minyak di Legenda Heights di sini, semalam.
Lelaki berusia 61 tahun itu ditahan sepasukan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah, hasil risikan selama dua minggu.
KPDN Kedah dalam kenyataan memaklumkan hasil pemeriksaan terhadap lori ais yang dipandu lelaki itu menemukan satu tong IBC berkapasiti 1,000 liter yang penuh berisi cecair disyaki minyak diesel.
“Siasatan awal mendapati suspek membeli minyak dalam tong IBC tersebut di empat stesen minyak sekitar Sungai Petani. Kesemua barangan itu kemudian disita melibatkan nilai keseluruhan rampasan RM38,005.” kata kenyataan itu.
Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) kerana memiliki barang kawalan (minyak diesel) tanpa permit.

















Tinggalkan Balasan