SHAH ALAM, 3 April — Masih ramai penjawat awam belum benar-benar memahami konsep Malaysia MADANI, yang bukan sekadar slogan tetapi satu semangat perlu diamalkan secara menyeluruh, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Beliau berkata walaupun sebahagian besar daripada penjawat awam telah mengikuti program berkaitan Malaysia MADANI, usaha memperluas kefahaman itu perlu diteruskan agar tiada dalam kalangan mereka yang tercicir daripada memahami aspirasi digariskan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Walaupun saya dimaklumkan jumlah penjawat awam yang telah diberikan pendedahan tentang Malaysia MADANI melalui pelbagai pendekatan adalah sebanyak 1,558,240 orang, yang telah hadir modul penjawat awam Malaysia MADANI melalui EPSA INTAN (E-Pembelajaran Sektor Awam) baru 684,417 orang sahaja.
“Usaha ini perlu diteruskan… jangan ada yang tercicir. Inilah tanggungjawab ketua jabatan bagi memastikan setiap petugas memahami aspirasi Perdana Menteri,” katanya ketika berucap pada program Jelajah Taat Setia MADANI Peringkat Negeri Selangor di sini hari ini.
Shamsul Azri berkata ketua jabatan juga perlu menyegarkan semula sesi komunikasi bersama warga kerja masing-masing dengan tidak hanya memberi tumpuan kepada aspek ganjaran atau gred semata-mata.
Sebaliknya, beliau menekankan bahawa pemilihan bagi kenaikan pangkat hendaklah berasaskan prestasi, ketelusan, amanah dan meritokrasi tanpa sebarang unsur pilih kasih atau peminggiran terhadap mana-mana petugas.
Sementara itu, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dalam ucapan pada majlis sama berkata kerangka MADANI yang diperkenalkan kini menjadi lebih penting ketika negara berdepan cabaran baharu termasuk krisis tenaga global yang berbeza sifatnya.
Beliau berkata berbanding situasi pandemik COVID-19 yang menyaksikan gangguan dari sudut permintaan, keadaan semasa pula lebih tertumpu kepada kekangan bekalan yang memberi kesan kepada pasaran.
“Kerangka Malaysia MADANI menitikberatkan perpaduan, memastikan kestabilan, jaga asas-asas Perlembagaan, pertahankan kedaulatan negara dan banyak perkara itulah yang sebenarnya telah menjadikan negara kita maju.
“Semua ini perlu kerjasama semua untuk kita depani krisis yang mungkin akan memberikan kesan kepada kehidupan rakyat dan juga kelestarian negara pada hari ini dan juga masa depan…Waktu ini jugalah kita kena hati-hati untuk memastikan perpaduan dan kestabilan kerana kestabilan dan perpaduan itulah yang akan menjamin kejayaan kita berdepan dengan krisis,” katanya.
















Tinggalkan Balasan