KOTA KINABALU, 4 April — Struktur bekalan tenaga di Sabah yang didominasi sumber gas membantu negeri itu kekal stabil dalam menghadapi krisis tenaga global susulan konflik geopolitik di Asia Barat, namun kebergantungan kepada diesel bagi sebahagian kapasiti penjanaan elektrik masih menimbulkan kebimbangan.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata penjanaan tenaga elektrik di Sabah ketika ini dianggarkan sekitar 1,400 megawatt (MW), dengan sebahagian besar bekalan disalurkan melalui gas PETRONAS.
“Sebanyak kira-kira 300MW lagi dijana menggunakan diesel. Jika harga diesel meningkat, ia turut menjejaskan keadaan di Sabah.
“Kita sentiasa memantau situasi ini dan Kerajaan Persekutuan juga menyatakan akan menilai perkembangan semasa susulan konflik peperangan ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama pengamal media, di sini, hari ini.
Hajiji berkata walaupun Sabah mempunyai kelebihan dari segi bekalan tenaga berasaskan gas, kawasan tertentu khususnya di pedalaman masih bergantung kepada diesel termasuk bagi operasi menara telekomunikasi.
Beliau berkata setakat ini belum terdapat laporan mengenai kekurangan bekalan diesel di kawasan pedalaman.
“Pada Khamis lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mempengerusikan mesyuarat khas bersama Menteri Besar dan Ketua Menteri. Tujuannya adalah untuk memberi taklimat mengenai cabaran yang dihadapi, bukan sahaja oleh Malaysia tetapi juga negara lain di dunia susulan konflik di Iran.
“Kita diminta supaya terus memantau keadaan dan mengambil langkah sewajarnya bagi menghadapi situasi ini,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata kerajaan negeri turut meneliti cadangan pelaksanaan bekerja dari rumah (BDR) bagi penjawat awam negeri sebagai langkah penjimatan tenaga dan kos, selaras dengan pendekatan di peringkat Persekutuan.
“Di peringkat Persekutuan, Perdana Menteri mengarahkan supaya bermula 15 April ini, sebahagian besar anggota perkhidmatan awam berkemungkinan bekerja dari rumah bagi menjimatkan tenaga serta perbelanjaan.
“Kita akan memantau perkara ini dan saya akan membawanya ke mesyuarat Kabinet negeri akan datang. Jika ada keperluan, kita akan melaksanakannya,” katanya.
















Tinggalkan Balasan