Menteri Luar China, Wang Yi mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani di Beijing, pada Selasa.
Dalam pertemuan itu, Wang berkata China merupakan rakan yang paling boleh dipercayai untuk jangka masa panjang bagi Qatar dalam proses pembangunan negara itu.
Ujarnya, kedua-dua pihak harus memperkukuh dan memperluas kerjasama dalam bidang tenaga tradisional dan tenaga baharu, di samping mempergiat kerjasama dalam sektor pelaburan, sains dan teknologi tinggi serta pertukaran rakyat-ke-rakyat.
Wang Yi menekankan bahawa China memuji Qatar yang sentiasa komited dan memainkan peranan pengantaraan dalam menangani konflik, serta bersedia mengekalkan komunikasi dan kerjasama dengan pihak Qatar dalam hal ehwal serantau dan antarabangsa.
Sementara itu Sheikh Mohammed menyatakan bahawa perkongsian strategik Qatar-China telah membuahkan banyak hasil yang positif.
Ujarnya China kini muncul sebagai rakan dagang terbesar bagi Qatar, dan juga rakan kerjasama terbesar negara itu dalam bidang tenaga.
Sheikh Mohammed juga memuji China yang tetap mempertahankan pendiriannya yang adil dan objektif.
Beliau berkata, pihaknya menyokong inisiatif China berhubung keselamatan di Asia Barat serta bersedia meningkatkan koordinasi dengan China bagi memelihara keselamatan laluan tenaga global dan menyumbang kepada pemulihan kedamaian dan kestabilan serantau secepat mungkin.













Tinggalkan Balasan