Malaysia, Singapura Perkukuh Kerjasama Persaingan Rentas Sempadan

KUALA LUMPUR, 1 Okt — Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dan Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Singapura (CCS) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama dalam bidang berkepentingan bersama, susulan aktiviti perniagaan dan perkembangan pasaran yang semakin merentasi sempadan.

MyCC dalam kenyataan hari ini memaklumkan MoU itu menyediakan kerangka bagi kedua-dua pihak bekerjasama dalam pertukaran maklumat dan pengalaman, perkongsian pengetahuan, pembangunan kapasiti, kerjasama teknikal serta penguatkuasaan melibatkan elemen rentas sempadan, tertakluk kepada undang-undang dan keperluan kerahsiaan masing-masing.

Menurut suruhanjaya itu, kerjasama berkenaan amat relevan mengambil kira aliran aktiviti perniagaan yang signifikan antara Malaysia dan Singapura, dengan syarikat yang beroperasi di satu pasaran turut mempunyai kehadiran atau kepentingan komersial di negara jiran.

“Perkembangan teknologi dan pasaran digital juga terus mengubah cara barangan dan perkhidmatan ditawarkan merentasi sempadan.

“Selain kerjasama penguatkuasaan, MoU ini membuka peluang kepada pegawai kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai perkembangan undang-undang dan dasar persaingan, berkongsi pengalaman institusi serta membina kepakaran dalam bidang berkepentingan bersama,” menurut kenyataan itu.

MoU berkenaan ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif MyCC Datuk Iskandar Ismail dan Ketua Eksekutif CCS Alvin Koh, disaksikan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Mohd Sayuthi Bakar serta Setiausaha Tetap Kementerian Perdagangan dan Perindustrian Singapura Dr Beh Swan Gin.

Perjanjian itu merupakan MoU antarabangsa kelima dimeterai MyCC, sekali gus satu lagi pencapaian penting dalam usaha suruhanjaya berkenaan memperluas dan memperkukuh hubungan dengan pihak berkuasa persaingan di peringkat antarabangsa.

Iskandar menyifatkan MoU itu sebagai perkembangan penting dalam hubungan yang telah lama terjalin antara MyCC dan CCS, terutama ketika kerjasama antarabangsa semakin diperlukan bagi mendepani isu persaingan serta perkembangan pasaran yang melangkaui sempadan negara.

“Penguatkuasaan persaingan yang kukuh bukan hanya bergantung kepada undang-undang yang kita tadbir, tetapi juga kekuatan institusi yang diamanahkan untuk menguatkuasakannya.

“Bagi MyCC, MoU ini memberi peluang untuk kita melihat melangkaui pengalaman sendiri, mempelajari pendekatan berbeza dan terus meningkatkan standard dalam melaksanakan mandat demi manfaat rakyat,” katanya.