Syarikat E-hailing Digalak Perluas Konsep “Car Pool” Bagi Kurangkan Kos – Loke

PUTRAJAYA, 9 April — Kementerian Pengangkutan (MOT) menggalakkan syarikat e-hailing mengamalkan dasar lebih fleksibel dengan memperluaskan pelaksanaan konsep “car pool” bagi memberikan pilihan kepada pengguna sekali gus membantu mengurangkan kos bahan api.

Menterinya Anthony Loke berkata pendekatan itu membolehkan penumpang berkongsi perjalanan secara lebih efisien dengan kadar tambang yang lebih berpatutan, di samping memastikan keseimbangan antara keperluan industri dan kebajikan pengguna.

“Ini sesuatu yang boleh dilaksanakan dengan kadar segera kerana sebelum ini memang telah ada pembuktian konsep (PoC) yang dijalankan dengan beberapa syarikat e-hailing.

“Jadi, ini merupakan contoh yang kita harap dapat memberikan satu teladan kepada semua pihak dan agensi bahawa dalam menghadapi krisis kita mesti mengambil satu langkah yang proaktif,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan di sini hari ini.

Beliau turut menegaskan keperluan untuk sentiasa bersedia menyesuaikan dasar dan peraturan agar lebih peka tanpa menjejaskan aspek keselamatan dan pematuhan kepada undang-undang sedia ada.

Mengenai impak konflik Asia Barat kepada sektor penerbangan, Loke berkata penutupan ruang udara di zon konflik telah memaksa syarikat penerbangan mengubah laluan penerbangan yang meningkatkan tempoh perjalanan ke destinasi seperti Eropah.

“Perubahan ini bukan sahaja menjejaskan jadual operasi malah membawa implikasi kos yang ketara. Penggantungan sementara laluan tertentu serta pembatalan beberapa penerbangan harian ke Asia Barat pada peringkat awal krisis turut menyebabkan kerugian besar kepada industri penerbangan,” katanya.

Dalam sektor maritim pula, ketegangan di laluan strategik seperti Selat Hormuz, Terusan Suez dan Kawasan Laut Merah telah memaksa kapal dagang mengambil laluan alternatif melalui Tanjung Harapan  di Afrika.

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan melalui Majlis Tindakan Ekonomi Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meneliti kesan krisis tenaga global itu secara menyeluruh, khususnya dari sudut jaminan bekalan dan kestabilan ekonomi.