KUALA LUMPUR, 16 April — Ibu bapa dan penjaga digesa untuk lebih bertanggungjawab dan peka terhadap kewajipan mendaftarkan kelahiran anak mereka bagi mengelakkan masalah dokumentasi pada masa hadapan.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata walaupun statistik pendaftaran lewat kelahiran menunjukkan trend penurunan, jumlah kes yang direkodkan setiap tahun masih dianggap signifikan.
“Bagi 2023, sebanyak 13,474 kes daftar lewat kelahiran direkodkan, diikuti 12,363 kes pada 2024 dan 10,537 kes pada 2025. Manakala bagi 2026, setakat 31 Mac pula mencatatkan 1,970 kes,” katanya pada majlis penyerahan dokumen Mekar Didik di Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih di sini hari ini.
Terdahulu pada majlis tersebut, sebanyak 31 penerima melibatkan 19 pelajar Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih dan 12 penduduk sekitar kawasan Chow Kit menerima dokumen Mekar (menyemai kasih rakyat) iaitu pengenalan diri merangkumi sijil lahir dan MyKad.
Saifuddin berkata angka antara 10,000 hingga 13,000 kes setahun menunjukkan secara purata, kira-kira 1,000 kelahiran setiap bulan tidak didaftarkan dalam tempoh masa ditetapkan undang-undang.
“Kita memohon sangat-sangat supaya ibu bapa faham tanggungjawab ini. Jika tidak diperbetulkan sekarang, anak-anak ini akan berdepan masalah pada masa hadapan terutamanya apabila melibatkan inisiatif bantuan kerajaan yang memerlukan MyKad,” katanya.
Saifuddin berkata pendaftaran kelahiran wajib dilakukan dalam tempoh 60 hari bagi penduduk di Semenanjung, manakala bagi Sabah dan Sarawak, tempoh yang ditetapkan adalah 40 hari.
Menurut beliau, isu pendaftaran lewat sepatutnya tidak timbul kerana Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mempunyai kemudahan 212 pejabat di seluruh negara selain program turun padang Mekar oleh JPN sepanjang tahun di seluruh pelosok negara, termasuk kawasan pedalaman untuk membantu urusan pendaftaran.
“Siasatan mendapati antara faktor keciciran dokumen pelajar sering berpunca daripada perkahwinan ibu bapa tidak teratur serta masalah sosial yang menyebabkan kanak-kanak terbiar tanpa dokumen sah hingga dewasa,” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya berhubung hasrat Parti Amanah Wilayah Persekutuan untuk bertanding di kerusi strategik seperti Putrajaya, Labuan, dan Titiwangsa, Saifuddin Nasution berkata agihan kerusi Pilihan Raya Umum ke-16 akan diputuskan melalui jawatankuasa perundingan kerusi dan sekretariat PH.
“Kita akan bawa ke peringkat sekretariat. Kita ada jawatankuasa perundingan kerusi. Itu tertibnya. Bila sampai masa nanti, kita akan mulakan proses perundingan. Ia tidak menjadi isu sangat,” katanya yang juga Setiausaha Agung PH.
















Tinggalkan Balasan