Stok Peranti Perubatan Stabil, Kerjasama Malaysia-China Tingkatkan Bekalan – KKM

PUTRAJAYA, 17 April — Bekalan peranti perubatan kekal stabil dan terkawal menerusi pemantauan rapi serta langkah mitigasi yang telah dilaksanakan secara berterusan biarpun berdepan krisis tenaga global.

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan perkara itu diperkukuh dengan persetujuan strategik antara Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) bersama pihak berkuasa China untuk meningkatkan pembekalan bahan mentah resin dan nafta untuk kegunaan industri tempatan. 

“Inisiatif ini bertujuan menstabilkan rantaian bekalan serta memastikan kelangsungan pengeluaran peranti perubatan kritikal di Malaysia. 

“Bekalan tambahan tersebut akan berfungsi sebagai pemangkin utama dalam menampung kekurangan bahan mentah semasa bagi memenuhi keperluan sistem kesihatan negara,” menurut kenyataan itu.

KKM memaklumkan Kerajaan Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan China atas komitmen padu dalam menyokong kestabilan rantaian bekalan bahan mentah industri peranti perubatan serantau.

“KKM akan terus memantau situasi ini secara rapi dan memastikan pengedaran bekalan dilaksanakan secara cekap dan berhemah, berasaskan keperluan klinikal demi kesejahteraan rakyat,” menurut kenyataan itu.