Inisiatif Sarapan Percuma Selangor Ringankan Beban Ibu Bapa, Tingkat Fokus Murid

SHAH ALAM, 17 April — Inisiatif Kerajaan Negeri Selangor melaksanakan bantuan sarapan percuma kepada pelajar sekolah menerusi Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor pada Ogos ini, bukan sahaja meringankan beban ibu bapa tetapi turut membantu dalam tumbesaran anak-anak.

Kebanyakan ibu bapa berpendapat usaha berkenaan juga sebagai langkah tepat dalam menyokong keperluan pembelajaran anak-anak.

Pekerja swasta Siti Shamila Che Zahari, 41, berkata langkah ini dapat membantu ibu bapa khususnya golongan B40 dalam memastikan anak-anak memperoleh pemakanan seimbang walaupun berdepan kekangan masa kerana perlu keluar bekerja seawal pagi.

Ibu kepada seorang anak itu berkata program berkenaan amat membantu kerana dapat menyediakan makanan berkhasiat kepada anak-anak, pada masa sama mengurangkan tekanan kepada ibu bapa untuk menyediakan sarapan di rumah.

“Saya setuju jika inisiatif ini dilaksanakan selain boleh ringankan beban golongan rentan, anak-anak pun dapat belajar dengan baik,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini. 

Siti Noor Faezah Muda, 41, berkata program berkenaan juga dapat menjadi platform merapatkan jurang antara murid yang mempunyai latar belakang berbeza, kerana semua mendapat akses kepada makanan yang sama.

Menurutnya, makanan bernutrisi penting dalam meningkatkan kecerdasan murid, lebih-lebih lagi bagi keluarga yang kurang berkemampuan.

“Kita lihat Kerajaan Negeri Selangor sangat cakna dengan memastikan anak-anak ini mendapat pemakanan seimbang,” katanya.

Sementara itu, bagi suri rumah Hazalina Othman, 46 berkata inisiatif sarapan percuma ini turut dilihat mampu meningkatkan tahap fokus dan daya tumpuan murid ketika mengikuti pembelajaran di dalam kelas. 

Menurut ibu kepada dua cahaya mata itu, dengan pemakanan yang mencukupi pada waktu pagi bukan sahaja membekalkan tenaga malah murid lebih bersedia dari segi fizikal dan mental, sekali gus membantu meningkatkan prestasi akademik serta penglibatan mereka dalam aktiviti sekolah.

Kerajaan Negeri Selangor melalui 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) akan memberikan bantuan sarapan percuma kepada pelajar di 873 sekolah di negeri itu, bagi meringankan perbelanjaan ibu bapa susulan krisis tenaga global.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari semalam dilaporkan berkata bantuan menerusi Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor itu akan disalurkan bermula Ogos ini.