85 Peratus Rakyat Tidak Terkesan Harga Pasaran Diesel – Anwar

KOTA BHARU, 18 April — Sebanyak 85 peratus rakyat di negara ini tidak terkesan dengan harga pasaran diesel kerana masih menikmati harga subsidi yang disediakan kerajaan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata hanya 15 peratus rakyat terkesan dengan kenaikan harga bahan api itu berikutan krisis tenaga global pada masa ini.

“Saya buat kajian semalam, minyak diesel yang tinggi itu memang ada kesan. Pada siapa? 15 peratus rakyat. 85 peratus rakyat itu tidak menggunakan diesel pada harga pasaran tetapi harga subsidi. 

“Yang dihebahkan ialah 15 peratus (terkesan), yang 85 peratus itu tidak disebut sama sekali,” kata beliau ketika berucap pada Majlis Perasmian Terminal Baharu Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud, Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menjelaskan bahawa bagi sektor pengangkutan, kerajaan memberikan pengecualian kepada bas sekolah dan lori pengangkutan strategik tertentu.

Beliau turut membangkitkan isu yang dibincangkan di peringkat satu Dewan Undangan Negeri mengenai dakwaan kononnya golongan nelayan terkesan dengan kenaikan harga pasaran diesel.

“Nelayan itu guna harga minyak diesel subsidi, bukan harga diesel pasaran. Jadi jangan beri contoh itu,” kata beliau.

Kementerian Kewangan memaklumkan harga subsidi RON95 di bawah Program Budi MADANI (BUDI95) dikekalkan pada kadar RM1.99 seliter bagi tempoh 16 hingga 22 April ini.

Bagi harga runcit tanpa subsidi, petrol RON95 dan RON97 masing-masing mencatatkan penurunan 25 sen seliter kepada RM4.02 dan RM5.10.

Harga runcit diesel tanpa subsidi turut menunjukkan penurunan sebanyak 75 sen kepada RM5.97 seliter bagi tempoh yang sama.