Malaysia Bakal Perkukuh Ekosistem Semikonduktor Di SEMICON SEA 2026

KUALA LUMPUR, 22 April — Malaysia akan terus memperkukuhkan ekosistem semikonduktor tahun ini menerusi penyepaduan rantaian bekalan, pembangunan keupayaan tempatan dan perkongsian bernilai tinggi dengan platform seperti SEMICON Asia Tenggara (SEMICON SEA) 2026 dijangka memainkan peranan pemangkin.

SEMICON SEA 2026 dijadualkan berlangsung pada 5 hingga 7 Mei di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) dengan kerjasama strategik bersama Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata RM28.5 bilion diperoleh oleh sektor elektrik dan elektronik pada 2025 adalah bukti bahawa keyakinan global terhadap Malaysia kekal kukuh.

Beliau berkata di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, Malaysia bukan sekadar mengekalkan kedudukannya dalam rantai bekalan semikonduktor global, malah sedang membentuknya semula dengan terancang.

“Kami terus membina ekosistem yang mantap untuk menandingi keyakinan itu, melalui integrasi rantaian bekalan, pembangunan keupayaan tempatan dan jenis perkongsian bernilai tinggi…platform seperti SEMICON Southeast Asia berada di kedudukan unik untuk memangkinkan.

“Peranan MIDA di sini bukanlah sebagai pemerhati. Kami adalah pembina aktif bagi lembaran seterusnya industri ini di Malaysia, dan kami berada di sini untuk membinanya bersama-sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan tersebut, SEMICON Asia Tenggara 2026 diadakan ketika Malaysia sedang bergerak melampaui kekuatan sedia ada dalam pemasangan dan pengujian ke arah aktiviti yang lebih bernilai tinggi termasuk reka bentuk, pembungkusan termaju serta pembuatan berteraskan inovasi.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SEMI, Ajit Manocha berkata industri semikonduktor global dijangka mencapai jualan tahunan sebanyak AS$1 trilion pada 2026, pencapaian penting bersejarah didorong oleh ledakan infrastruktur kecerdasan buatan (AI) yang semakin meningkat.

“Penganalisis pasaran menyatakan bahawa Asia Tenggara telah muncul sebagai pemacu penting pertumbuhan semikonduktor global selepas mengatasi industri yang lebih luas sejak beberapa tahun lepas, disokong oleh pengembangan berterusan dalam kapasiti pembuatan, pemasangan, pengujian dan pembungkusan serta peningkatan integrasinya ke dalam rantaian bekalan semikonduktor global,” katanya.

Bertemakan ‘Transform Tomorrow’, SEMICON SEA 2026, platform utama rantau ini untuk rantaian bekalan pembuatan semikonduktor dan elektronik global, akan memberi tumpuan kepada mempercepatkan teknologi generasi akan datang dan pada masa sama menangani cabaran struktur semasa.

Acara ini dijangka menarik lebih daripada 20,000 inovator, penggubal dasar dan pakar teknologi, memupuk kerjasama merentasi rantaian nilai semikonduktor global, ia juga akan menampilkan perbincangan mengenai AI, pembuatan pintar, kemampanan, pembangunan tenaga kerja, pembungkusan canggih dan penyumberan pembekal.

SEMICON SEA disokong oleh rakan kongsi dan penaja industri utama termasuk Diamond Sponsors GlobalFoundries, Lam Research, Micron, Sandisk Corporation dan Tokyo Electron Limited; Platinum Sponsors Applied Materials, Global TechSolutions, Schneider Electric, SGS, Soitec dan STATS ChipPAC; dan Gold Sponsors Advantest, ASE, ECOWorld, Henkel, IAQ, KLA, Kulicke & Soffa, Siemens, Singtest dan STMicroelectronics.

Pendaftaran untuk SEMICON SEA 2026 kini dibuka, untuk mendaftar, lawati https://register.semiconsea.org/event/2026/access-passes.