UKM Tersenarai 100 Universiti Terbaik Di Asia, Kedudukan Tertinggi Sejak 2016

PUTRAJAYA, 24 April — Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mencatat pencapaian paling membanggakan dalam tempoh sedekad apabila tersenarai dalam kelompok 100 universiti terbaik Asia, sekali gus menandakan lonjakan prestasi akademik dan penyelidikan universiti itu di pentas antarabangsa.

Pengiktirafan tersebut diumumkan menerusi penarafan Times Higher Education (THE) Asia University Rankings 2026 yang menyaksikan UKM menduduki tempat ke-87 iaitu kedudukan terbaik universiti berkenaan sejak 2016.

Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Sufian Jusoh berkata kejayaan itu mencerminkan peningkatan berterusan UKM dalam memperkukuh kecemerlangan akademik, memperhebat penyelidikan berimpak tinggi serta memperluas jaringan kerjasama antarabangsa.

“Alhamdulillah, pencapaian ini membuktikan UKM berada di landasan yang kukuh dalam usaha memperkasakan kecemerlangan global. Kedudukan ini mencerminkan keupayaan, dedikasi dan komitmen seluruh warga UKM dalam memastikan universiti terus relevan, berdaya saing serta memberi impak bermakna kepada masyarakat dan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sufian berkata UKM akan terus mempergiat usaha memperkukuh agenda pengantarabangsaan, meningkatkan kualiti penyelidikan dan memperluas kerjasama strategik dengan industri serta institusi antarabangsa.

Beliau berkata pencapaian itu adalah selari dengan pelaksanaan TEKAD 57 yang merupakan kerangka strategik baharu universiti, untuk menggerakkan hala tuju UKM bagi tempoh 2026 hingga 2030.

Penarafan THE Asia University Rankings 2026 menilai institusi pengajian tinggi berdasarkan 18 indikator utama meliputi aspek pengajaran, penyelidikan, impak penyelidikan, kerjasama industri dan pengantarabangsaan.