JOHOR BAHRU, 24 April — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan dakwaan kononnya lawatan beliau ke Afrika tahun lepas bertujuan menyembunyikan wang yang disonglap sebagai satu fitnah besar.
Beliau meminta pihak yang melontarkan dakwaan itu supaya tampil mengemukakan bukti.
Perdana Menteri berkata beliau tidak mempunyai masa yang banyak untuk melayan fitnah itu.
“Kalau ada bukti, bawalah… tiada siapa terkecuali… kalau tidak, jadi sarang fitnah dan sebagainya… saya tak nak layan, saya banyak kerja,” katanya kepada pemberita selepas hadir pada sesi ramah mesra bersama dengan penuntut Institut Pendidikan Guru Kampus Temenggong Ibrahim di sini hari ini.
Sebelum ini, tular di media sosial video seorang wanita dikenali sebagai “Sofia Rini” yang juga saksi dalam kes rasuah membabitkan ahli perniagaan Albert Tei dan bekas setiausaha politik Anwar iaitu Shamsul Iskandar Akin, yang membuat pendedahan itu.
Antara lain, Sofia mendakwa “Anwar” berada di Afrika bagi menyimpan duit yang disonglap.
Perdana Menteri mengadakan lawatan ke tiga negara di Afrika iaitu Ethiopia, Afrika Selatan dan Kenya bermula 18 hingga 24 Nov 2025 dalam usaha membuka ruang pelaburan baharu Malaysia di benua itu.
Mengulas mengenai kemelut institusi beradat di Negeri Sembilan, Anwar berkata biarlah perkara itu diputuskan mengikut undang-undang adat negeri berkenaan.
“Sekarang dah tenang… mungkin ambil masa sedikit… kita serah pada kebijaksanaan (pihak yang berkaitan),” katanya.
Sebelum ini, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun memaklumkan bahawa tindakan Datuk Mubarak Dohak yang menandatangani dan membacakan pengisytiharan menurunkan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Balai Undang Luak Sungai Ujong tidak boleh diterima atau diiktiraf.
Aminuddin berkata ini kerana Mubarak tidak lagi mempunyai kuasa dan fungsi sebagai Undang Luak Sungei Ujong, selain tidak selaras dengan Perkara 10 hingga 12 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Persidangan Dewan Undangan Negeri Ke-15 Negeri Sembilan, yang dirasmikan oleh Tuanku Muhriz kelmarin dan sepatutnya bersambung pada 27 hingga 29 April, telah ditangguhkan ke suatu tarikh akan dimaklumkan kemudian.
















Tinggalkan Balasan