Malaysia, Brunei Perkukuh Hubungan Berteraskan Amanah, Kepercayaan Depani Cabaran Global

KUALA LUMPUR, 24 April — Malaysia dan Brunei beriltizam untuk memperkukuh hubungan dua hala berteraskan amanah, saling percaya dan kesepakatan dalam mendepani cabaran serantau serta global.

Perkara itu antara yang dibincangkan ketika Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah di ibu negara malam ini.

“Dalam suasana penuh hormat, kami menzahirkan iltizam bersama untuk memperkukuh hubungan istimewa Malaysia dan Brunei berteraskan amanah, saling percaya dan kesepakatan dalam mendepani cabaran serantau serta global.

“Hubungan ini bukan sekadar diplomasi tetapi ikatan persaudaraan yang berakar dalam sejarah dan diperkukuh oleh kejujuran serta tekad bersama untuk menjamin kesejahteraan rakyat kedua-dua negara,” katanya di Facebook.

Pada masa sama, Anwar berharap jalinan hubungan baik itu terus mekar dan dipelihara demi masa depan yang lebih aman, stabil serta makmur.