ISTANBUL, 29 April — Pemimpin Majlis Kerjasama Teluk (GCC) membincangkan perkembangan serantau dan antarabangsa serta cara untuk menyelaraskan usaha semasa sidang kemuncak perundingan yang berlangsung di Jeddah pada Selasa, lapor media Arab Saudi.
Sidang kemuncak itu dipengerusikan oleh Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman Al Saud, lapor Anadolu Ajansi yang memetik Agensi Berita Arab Saudi (SPA).
Beberapa isu dan topik berkaitan perkembangan serantau dan antarabangsa telah dibincangkan dalam mesyuarat itu, selain usaha penyelarasan dalam kalangan negara anggota GCC.
Sidang kemuncak itu dihadiri oleh beberapa pemimpin dan pegawai kanan Teluk, termasuk Amir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani dan Raja Bahrain, Raja Hamad bin Isa Al Khalifa.
Turut hadir ialah Putera Mahkota Kuwait, Sheikh Sabah Khaled Al-Hamad Al-Sabah, yang mewakili Amir Kuwait Sheikh Mishal Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah, bersama Menteri Luar Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Abdullah bin Zayed Al Nahyan.
Pertemuan itu diadakan di tengah-tengah usaha antarabangsa untuk menamatkan peperangan yang sedang berlaku serta menyokong rundingan tidak langsung antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran yang diusahakan melalui pengantaraan Pakistan.
AS dan Israel melancarkan serangan bersama terhadap Iran pada 28 Feb, yang mendorong Tehran membalas dengan serangan ke atas apa yang disifatkannya sebagai kepentingan AS di seluruh wilayah itu, dengan kebanyakannya terletak di negara-negara Teluk.
Gencatan senjata telah diumumkan pada 8 April melalui pengantaraan Pakistan, disusuli dengan rundingan yang dihoskan di Islamabad pada 11 April, namun rundingan itu berakhir tanpa sebarang persetujuan.
Presiden AS Donald Trump kemudiannya menyatakan bahawa tempoh bertenang itu telah dilanjutkan atas permintaan Pakistan sementara menunggu cadangan daripada pihak Tehran.
GCC dianggotai oleh Arab Saudi, Kuwait, Emiriah Arab Bersatu, Qatar, Bahrain, dan Oman.
Sidang kemuncak perundingan dalam kalangan pemimpin GCC mula dipersetujui pada tahun 1998 sebagai mesyuarat dwitahunan di antara sidang kemuncak biasa, dengan mesyuarat pertama diadakan di Jeddah pada Mei 1999.












Tinggalkan Balasan