Lebih 1,000 Peluang Pekerjaan Diwujudkan Di POIC Lahad Datu – Ewon

KOTA KINABALU, 29 April — Kluster Industri Minyak Sawit (POIC) Lahad Datu telah mewujudkan sebanyak 1,729 peluang pekerjaan setakat ini, dengan 85 peratus daripadanya adalah warga tempatan termasuk belia dari Lahad Datu, kata Timbalan Ketua Menteri III Datuk Ewon Benedick.

Beliau yang juga Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah berkata peluang pekerjaan itu diwujudkan bagi mengoperasi sektor hiliran sawit dan biojisim melibatkan 75 syarikat dalam pelbagai aktiviti seperti oleokimia, biodiesel dan penghasilan produk biojisim.

“Dari segi struktur pekerjaan, industri hiliran sawit dan biojisim di POIC Lahad Datu menyediakan pelbagai peluang pekerjaan meliputi peringkat kemahiran dan kepakaran.

“Ini termasuk operator pengeluaran dan pemprosesan; juruteknik dan penyelenggaraan mesin; penyelia operasi dan kawalan kualiti; pegawai teknikal dan kejuruteraan; sokongan logistik, utiliti, keselamatan dan pentadbiran,” katanya menjawab soalan Datuk Dr Mohammad Yusof Apdal pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.

Mohammad Yusof (Warisan-Silam) ingin mengetahui jumlah belia dari DUN Silam dan Parlimen Lahad Datu yang telah diserap masuk ke dalam industri hiliran sawit dan biojisim di POIC Lahad Datu serta purata pendapatan, jenis pekerjaan dan kemahiran yang diperoleh.

Ewon berkata purata pendapatan ditawarkan adalah kompetitif selari dengan kepelbagaian peranan, selain bergantung pada tahap kemahiran, kelayakan dan pengalaman pekerja.

Bagi pekerja am dan operator, katanya anggaran pendapatan adalah RM1,500 hingga RM2,600 sebulan; juruteknik atau penyelia (RM2,500 hingga RM4,000 sebulan) manakala pegawai teknikal atau profesional kira-kira RM4,000 dan ke atas.

“Sektor ini turut menawarkan laluan perkembangan kerjaya kepada belia tempatan. Pekerja berpeluang meningkat daripada operator kepada penyelia dan seterusnya ke peringkat teknikal atau pengurusan melalui pengalaman kerja dan latihan berterusan,” katanya.

Dalam pada itu, Ewon berkata kerajaan negeri melalui POIC akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan agensi latihan dan institusi kemahiran bagi menyediakan program latihan pensijilan serta peningkatan kemahiran.

Beliau berkata komitmen itu bertujuan memastikan tenaga kerja tempatan khususnya belia kekal relevan, berdaya saing dan mampu memenuhi keperluan industri yang semakin berkembang.

Buat masa ini, katanya kerajaan negeri belum ada sebarang cadangan untuk mewujudkan pusat latihan di POIC Lahad Datu, namun melihat kemungkinan bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan inisiatif itu.