Peralihan Tenaga Kian Pesat, Pelaburan Trilion Dolar Pacu Perubahan Global

KUALA LUMPUR, 29 April — Usaha peralihan tenaga di seluruh dunia terus berkembang pesat walaupun dalam persekitaran geopolitik yang semakin kompleks, dengan pelaburan dianggarkan mencecah US$3.3 trilion (US$1 = RM3.95) pada tahun lepas.

Menurut Energy Watch, pertumbuhan tenaga bersih didorong oleh tumpuan yang semakin meningkat terhadap keselamatan dan kemampuan tenaga sekali gus mengukuhkan peranannya sebagai tonggak pembangunan negara yang praktikal dan berdaya tahan.

Menerusi artikel bertajuk “Global Outlook: A New Energy Reality Takes Shape in 2026,” menurutnya faktor untuk melaksanakan peralihan tenaga bukan lagi semata-mata bergantung kepada matlamat iklim jangka panjang, malah berikutan keperluan untuk beroperasi dengan yakin dalam persekitaran tenaga yang semakin berpecah dan berdaya saing.

“Berbanding hanya memberi tumpuan terutama kepada sasaran iklim jangka panjang, kerajaan lebih menekankan kepada pembangunan industri kritikal, memperkukuh keupayaan domestik dan menjamin pekerjaan masa depan dan pada masa sama menguruskan pelbagai risiko saling berkaitan yang semakin meningkat,” menurutnya.

Menurut Energy Watch, secara keseluruhannya, perkembangan ini menandakan fasa peralihan tenaga yang lebih tertumpu kepada pelaksanaan pada 2026, yang ditentukan oleh keupayaan pelaksanaan, kesediaan dan kemampuan untuk bersaing dalam landskap yang berkembang pesat.

Energy Watch memaklumkan, hala tuju perubahan itu semakin jelas, didorong oleh trend utama pada 2026 seperti kecerdasan buatan (AI), daya tahan grid tenaga dan persaingan tenaga hijau yang semakin meningkat yang menentukan pelaburan, dasar dan daya saing.

Keseimbangan tenaga dan AI 

AI telah menjadi trend utama dalam sektor tenaga, seiring dengan peningkatan permintaan elektrik yang didorong oleh pertumbuhan pusat data, perkhidmatan awan dan infrastruktur digital.

Anggaran menunjukkan bahawa permintaan elektrik daripada pusat data boleh meningkat lebih dua kali ganda menjelang 2030 kepada kira-kira 945 terawatt jam, dengan Amerika Syarikat dan China mencatat permintaan tertinggi, diikuti oleh negara-negara Asia, termasuk negara-negara di Asia Tenggara.

Walaupun tenaga adalah penting untuk AI, teknologi AI turut memainkan peranan penting dalam mengubah kaedah sistem tenaga diuruskan dengan meningkatkan kecekapan, kebolehramalan dan prestasi keseluruhan sistem.

Sebagai syarikat utiliti elektrik terbesar di Malaysia, Tenaga Nasional Bhd (TNB) berada di barisan hadapan dalam transformasi ini.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Shamsul Ahmad menerusi temu bual baru-baru ini berkata AI telah digunakan dalam operasi syarikat itu termasuk penyenggaraan jangkaan, pengimbangan muatan dan ramalan cuaca.

“Sinergi itu turut ditekankan dalam Persidangan Peralihan Tenaga 2026 (ETCon26) anjuran TNB yang akan datang, bertemakan ‘Tenaga & AI: Sinergi untuk Peralihan Tenaga’,” katanya.

ETCon26 berteraskan tiga tonggak utama iaitu Tenaga untuk AI, AI untuk Tenaga dan Peralihan Tenaga (ET) untuk Rakyat, yang mencerminkan kebergantungan yang tinggi antara sistem tenaga dan teknologi digital.

Pelaburan rangkaian tenaga lebih tahan lasak

Energy Watch menekankan bahawa AI semakin penting dalam sektor tenaga, tetapi pada masa yang sama ia turut memberi tekanan yang sangat besar kepada kapasiti penjanaan elektrik dan infrastruktur grid yang lazimnya tidak berkembang seiring dengan kelajuan perubahan dalam perancangan sistem tenaga.

Sistem grid elektrik konvensional yang direka untuk aliran tenaga berpusat dan sehala kini semakin tidak sesuai dengan keperluan sistem moden yang perlu mengendalikan sumber tenaga boleh baharu (TBB) yang berubah-ubah serta aliran tenaga pelbagai arah.

Sehubungan itu, pelaburan global semakin tertumpu kepada naik taraf grid, pendigitalan sistem serta penyelesaian penyimpanan tenaga.

Keperluan kepada infrastruktur yang lebih fleksibel dan berdaya tahan turut menjadi semakin penting berikutan peningkatan risiko perubahan iklim ekstrem, ketidaktentuan geopolitik serta ancaman keselamatan siber.

“Pelaburan tenaga akan terus memberi keutamaan kepada naik taraf transmisi, pendigitalan grid dan teknologi storan pada 2026.

“Sekitar US$21 trilion diperlukan untuk naik taraf grid menjelang 2050 bagi membina rangkaian yang lebih fleksibel dan berdaya tahan,” menurut laporan itu.

“Walaupun angka ini besar, ia perlu ditimbang dengan kos tidak bertindak yang jauh lebih tinggi, dianggarkan sekitar US$38 trilion setahun,” menurutnya.

Usaha menuju penyahkarbonan

Dalam masa sama, persaingan dalam rantaian bekalan tenaga bersih turut meningkat apabila negara-negara bersaing mendapatkan pelaburan, mineral kritikal dan kapasiti pembuatan.

Peralihan tenaga kini berkembang menjadi strategi ekonomi dan perindustrian utama, bukan sekadar agenda alam sekitar.

“Kerajaan melaksanakan dasar perindustrian seperti insentif cukai, subsidi dan langkah perdagangan bagi memperkukuh industri domestik serta menjamin rantaian bekalan,” menurut Energy Watch.

Peralihan ini mencerminkan usaha memperkukuh daya saing nasional dalam teknologi tenaga bersih, sambil memastikan bekalan tenaga yang stabil, mampu milik dan selamat.

Laporan itu turut menyatakan bahawa peningkatan permintaan elektrik serta ketidaktentuan pasaran mendorong kerajaan mengimbangi keutamaan antara keselamatan tenaga, kemampuan kos dan sasaran penyahkarbonan.

“Campuran tenaga pada 2026 menunjukkan pendekatan lebih pragmatik, menggabungkan TBB dengan kapasiti asas, storan dan sumber peralihan, dengan faktor kemampuan kos mempengaruhi kadar peralihan terutama di negara membangun,” menurutnya.

Tumpuan serantau: ASEAN perkukuh integrasi tenaga

Negara-negara juga menyesuaikan strategi berdasarkan kedudukan sumber masing-masing. Di Asia Tenggara, negara-negara semakin memberi tumpuan kepada penyambungan rangkaian elektrik merentas sempadan melalui Grid Tenaga ASEAN (APG), di samping usaha menyelaraskan rangka kerja kawal selia serta membolehkan perdagangan elektrik berskala besar,” menurut Energy Watch.

Satu perkembangan penting berlaku pada Januari 2026 apabila TNB menandatangani perjanjian tiga pihak dengan utiliti di Laos dan Thailand bagi membolehkan bekalan TBB dihantar ke Singapura.

Menurut Energy Watch, perkembangan itu mencerminkan momentum yang semakin kukuh ke arah kerjasama tenaga serantau yang lebih mendalam.

Menjelang 2026, fokus peralihan tenaga kini beralih daripada persoalan sama ada untuk beralih kepada bagaimana ia dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan, apabila keputusan berkaitan pelaburan grid, pengurusan permintaan, strategi industri dan kerjasama serantau menjadi penentu daya tahan serta daya saing jangka panjang.

“Tahun ini memberi peluang penting untuk menterjemahkan momentum semasa kepada kelebihan yang mampan melalui tindakan terkoordinasi dan pelaksanaan yang konsisten,” menurut laporan itu.