Mesyuarat Pucuk Pimpinan PKC Bincang Situasi Ekonomi Semasa

Mesyuarat Biro Politik Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (PKC) diadakan di Beijing pada Selasa bagi menganalisis ekonomi semasa serta merangka hala tuju ekonomi negara.

Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat PKC, Xi Jinping.

Antara yang menjadi tumpuan pada mesyuarat tersebut adalah keperluan untuk mengekalkan kestabilan dijadikan sebagai matlamat utama ekonomi, melaksanakan konsep pembangunan baharu dengan lengkap, tepat dan menyeluruh, serta mempercepat pembentukan paradigma pembangunan baharu yang mengimbangi pasaran domestik dan antarabangsa.

Mesyuarat juga menyatakan bahawa China akan terus memperdalam reformasi dan keterbukaan, memperkukuh keupayaan inovasi sains dan teknologi serta memastikan rantaian industri lebih berdikari dan terkawal.

Mesyuarat itu juga menegaskan perlu melaksanakan dasar fiskal yang lebih agresif dan dasar mata wang yang sederhana longgar, selain mempertingkat permintaan domestik secara berterusan.

Antara yang turut dibincangkan ialah usaha untuk menstabilkan pekerjaan, perusahaan, pasaran dan unjuran ekonomi serta memperkukuh momentum dalaman pertumbuhan bagi memperkasa kitaran ekonomi domestik dan antarabangsa sekaligus mewujudkan permulaan yang baik bagi pelaksanaan Rancangan Lima Tahun (FYP) ke-15 Pembangunan Ekonomi dan Sosial.

Mesyuarat turut menyatakan, adalah perlu untuk meneroka potensi permintaan domestik dengan lebih mendalam,  mempercepat pembinaan sistem perindustrian moden serta mengekalkan peranan sektor pembuatan pada tahap wajar.

Antara lain ditekankan dalam mesyuarat itu adalah perlu memperkukuh dasar yang mengutamakan pekerjaan, serta meningkatkan pembangunan dalam bidang melibatkan kehidupan rakyat termasuk pendidikan, perubatan dan pengasuhan kanak-kanak.

Selain itu perlu berusaha secara berterusan untuk mencegah dan mengatasi risiko di sektor utama.