Jerebu: UM Laksana PdP Secara Hibrid Mulai Isnin

KUALA LUMPUR, 9 Okt — Universiti Malaya (UM) akan melaksanakan sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara hibrid bermula Isnin ini sebagai langkah berjaga-jaga susulan jerebu yang melanda negara.

Naib Canselor UM Datuk Seri Profesor Dr Noor Azuan Abu Osman berkata ia ialah langkah proaktif universiti dalam mengutamakan kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan warga kampus, khususnya pelajar dan staf, di samping memastikan kesinambungan aktiviti akademik dapat diteruskan dengan teratur.

Beliau berkata pelaksanaan PdP secara hibrid membolehkan pembelajaran diteruskan dengan lebih fleksibel mengikut keadaan semasa dan keperluan pelajar tanpa mengabaikan aspek kesihatan.

“Pihak universiti turut menyarankan agar aktiviti luar bangunan ditangguhkan buat sementara waktu bagi mengurangkan risiko pendedahan kepada jerebu. Bagi aktiviti yang perlu diteruskan, penilaian risiko dan langkah kawalan bersesuaian hendaklah dilaksanakan berdasarkan keadaan semasa.

“Warga kampus juga dinasihatkan agar sentiasa mengambil langkah penjagaan kesihatan yang sewajarnya, termasuk mengurangkan aktiviti luar bangunan dan memakai pelitup muka jenis N95 apabila berada di luar, khususnya sekiranya kualiti udara merosot,” katanya menerusi kenyataan hari ini. 

Noor Azuan berkata UM akan terus memantau perkembangan keadaan jerebu serta menilai keberkesanan langkah yang dilaksanakan secara berkala bagi memastikan keputusan yang diambil mengambil kira kepentingan dan kebajikan warga kampus.

Sebarang perubahan atau arahan lanjut akan dimaklumkan melalui saluran komunikasi rasmi universiti itu.

Sebanyak 37 kawasan mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat pagi tadi dengan Seremban, Negeri Sembilan merekodkan bacaan tertinggi, iaitu 186.