50 Pemain Industri Pelancongan Malaysia Sertai Misi Promosi TMM 2026 Di Indonesia

JAKARTA, 30 April — Kira-kira 50 organisasi industri pelancongan Malaysia menyertai program promosi  Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) di sini,  dalam usaha  menarik lebih ramai pelancong dari  Indonesia untuk memilih Malaysia sebagai destinasi pilihan.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing berkata misi galakan pelancongan itu meliputi pelbagai acara di bandar utama iaitu Jakarta, Surabaya dan Medan.

“Misi ini mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dalam memperkukuh jaringan kerjasama strategik bersama rakan industri di Indonesia, khususnya dalam mempromosikan TMM 2026,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran program Malaysia Gastronomy and Cultural Promotion, di sini, Isnin.

Program yang berlangsung hingga 2 Mei itu disertai pelbagai pihak termasuk lembaga pelancongan negeri, agensi pelancongan, institusi kesihatan, syarikat penerbangan, hotel dan resort, ejen Malaysia My Second Home serta pengendali pelbagai produk dan tarikan pelancongan. 

Tiong berkata sebagai negara jiran, Malaysia dan Indonesia berkongsi banyak persamaan dari segi budaya, bahasa dan nilai kehidupan, namun, keunikan negara masing-masing menjadikan hubungan ini saling melengkapi. 

“Rakyat Malaysia juga amat suka berkunjung ke Indonesia dan kami percaya rakyat Indonesia juga mempunyai minat sama untuk meneroka keindahan Malaysia. Hubungan erat ini akan terus menjadi asas kukuh kepada pertumbuhan pelancongan dua hala yang terus berkembang dari tahun ke tahun,” katanya.

Di bawah tema “Malaysia: Destinasi Lestari dan Kaya Budaya”, Tiong berkata kalendar acara TMM 2026 yang kini dilanjutkan pelaksanaannya hingga hujung tahun hadapan, turut menampilkan World Labour Day Celebration cum Rain Rave Water Music Festival yang akan berlangsung di Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada 30 April hingga 2 Mei ini. 

“Hari ini, kita juga melancarkan program Malaysia Food and Culture Promotion untuk meningkatkan promosi makanan Malaysia di Indonesia. Program ini menunjukkan keunikan makanan tradisi serta warisan budaya Malaysia. 

“Kami menjemput Bapak-bapak dan Ibu-ibu (tuan-tuan dan puan-puan) sekalian merasai dan memperkenalkan pengalaman ini kepada warga Indonesia,” katanya.