Jemaah Sudah Berihram Terpaksa Pulang, Kes Visa Palsu 2015 Jadi Pengajaran

JEDDAH, 4 Mei — Kisah 30 jemaah haji Malaysia yang sudah berihram tetapi terkandas di lapangan terbang di sini selepas didapati menggunakan visa tidak sah pada 2015, perlu sentiasa dijadikan pengajaran oleh bakal jemaah.

Pengarah Operasi Haji Jeddah Darul Nain Abu Bakar berkata jemaah terbabit dipercayai terpedaya dengan tawaran pakej tidak rasmi yang menjanjikan peluang menunaikan haji melalui jalan pintas.

Beliau berkata walaupun dokumen dikemukakan kelihatan meyakinkan dengan nama dan gambar pemegang yang sepadan, tetapi semakan sistem imigresen Arab Saudi mendapati visa tersebut tidak sah dan tidak berdaftar atas nama mereka.

“Dari luar nampak semuanya betul, tetapi dalam sistem ia tidak wujud atau bukan milik mereka. Itu yang menyebabkan mereka terus tidak dibenarkan masuk,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Mengimbas kembali kejadian itu, Darul Nain berkata beliau bersama pegawai konsulat segera ke lapangan terbang sebaik menerima laporan bagi membantu jemaah yang terlibat.

Beliau berkata situasi menjadi sangat menyentuh emosi apabila mendapati kesemua jemaah sudah lengkap berihram dan bersedia menunaikan ibadah haji.

“Mereka datang dengan harapan sangat tinggi. Ada yang pertama kali sampai, ada yang sudah menunggu lama. Tetapi akhirnya terpaksa akur tidak dapat meneruskan perjalanan,” katanya.

Dalam usaha mengurangkan tekanan terhadap jemaah, beliau berkata Konsulat Malaysia mengadakan rundingan dengan pihak berkuasa Arab Saudi agar mereka tidak ditempatkan di dalam lokap.

“Mereka hanya ditahan di kawasan khas lapangan terbang sementara urusan diselesaikan sebelum dihantar pulang. Itu sahaja yang mampu kita bantu dalam keadaan peraturan yang sangat ketat,” katanya.

Beliau berkata walaupun timbul rasa simpati dan keinginan untuk membantu, pihaknya tetap terikat dengan undang-undang yang dikuatkuasakan oleh kerajaan Arab Saudi.

“Pengalaman ini cukup memberi pengajaran bahawa dalam urusan haji, pematuhan kepada peraturan adalah perkara utama yang tidak boleh dipandang ringan,” katanya.

Sehubungan itu, Darul Nain mengingatkan bakal jemaah agar lebih berhati-hati dan tidak mudah terpengaruh dengan tawaran meragukan yang menjanjikan kemasukan mudah ke Tanah Suci.

“Gunakan saluran sah seperti Lembaga Tabung Haji atau agensi yang diiktiraf. Jangan ambil jalan pintas kerana risikonya sangat besar,” katanya.

Beliau berkata kawalan kini semakin diperketatkan dengan pemeriksaan berlapis di setiap pintu masuk, termasuk terhadap penduduk tempatan, sebagai langkah memastikan tidak berlaku pelanggaran peraturan.

Darul Nain berkata dalam operasi haji berskala besar yang melibatkan jutaan jemaah setiap tahun, kepatuhan kepada peraturan adalah aspek paling kritikal bagi memastikan keselamatan dan kelancaran keseluruhan perjalanan ibadah.

“Tiada ruang kompromi dalam soal visa. Jika tidak sah, tindakan tetap akan diambil walaupun kita tahu mereka sudah berkorban banyak perkara untuk sampai ke sini,” katanya.

Beliau berkata selain gagal menunaikan haji, jemaah juga berdepan risiko lain termasuk kerugian kewangan serta kemungkinan disenarai hitam oleh pihak berkuasa Arab Saudi, sekali gus menjejaskan peluang mereka untuk kembali ke negara itu pada masa hadapan.