ISTANBUL, 3 Mei — Iran mengemukakan maklum balas 14 perkara terhadap cadangan Amerika Syarikat (AS) untuk menamatkan perang menerusi perantara Pakistan, lapor Anadolu Ajansi, memetik agensi berita separuh rasmi Iran, Tasnim pada Sabtu.
Menurut Tasnim, jawapan Iran menangani cadangan sembilan perkara AS dan memberi tumpuan pada “menamatkan perang”.
Menurut laporan itu, Washington mencadangkan gencatan senjata selama dua bulan manakala Tehran menegaskan isu-isu harus diselesaikan dalam tempoh 30 hari dan usaha harus ditumpukan pada menamatkan perang dan bukannya melanjutkan gencatan senjata.
Menurut agensi berita tersebut, cadangan Iran termasuk peruntukan seperti jaminan terhadap tindakan ketenteraan, pengunduran tentera AS dari kawasan sekitar Iran, menarik balik sekatan dan sekatan tentera laut, mencairkan aset Iran, pembayaran pampasan dan menamatkan permusuhan merentasi pelbagai bidang termasuk Lubnan.
Ia menambah cadangan itu juga termasuk rangka kerja berkaitan Selat Hormuz, laluan penting bagi minyak dan gas global yang masih disekat sejak konflik bermula 28 Feb.
Pakistan menjadi pengantara gencatan senjata antara pihak yang bertelagah pada awal April, mengatur rundingan damai bersejarah di Islamabad dan berhasrat untuk mengekalkan peranan itu sehingga konflik berakhir.












Tinggalkan Balasan