KUALA LUMPUR, 4 Mei — Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) hari ini melancarkan Executive Management Programme (EMP) sebagai inisiatif strategik memperkasakan pembangunan kepimpinan dan bakat profesional negara, selaras dengan keperluan industri serta perubahan landskap ekonomi global yang semakin dinamik.
Menurut kenyataan UPTM hari ini, program itu disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sempena sambutan ulang tahun ke-60 Majlis Amanah Rakyat (MARA) di World Trade Centre Kuala Lumpur.
“EMP merupakan cetusan idea Timbalan Perdana Menteri dan dilihat sebagai langkah proaktif merapatkan jurang antara dunia akademik dan industri, selain memastikan tenaga kerja tempatan kekal relevan, kompetitif dan bersedia menghadapi cabaran ekonomi masa depan.
“Dalam konteks itu, UPTM dilihat sebagai peneraju dan game changer(pengubah keadaan) dalam membangunkan ekosistem bakat negara serta berperanan sebagai focal point (tumpuan utama) kepada industri melalui pelaksanaan program berimpak tinggi,” menurut kenyataan itu.
Program berkenaan diperkenalkan dengan dua komponen utama, iaitu EMP Protege dan EMP Professional yang disesuaikan mengikut tahap pengalaman serta keperluan peserta.
EMP Protege menumpukan kepada graduan baharu dan pemegang ijazah sarjana muda dengan penekanan terhadap pembangunan kemahiran praktikal, termasuk kepimpinan, komunikasi berkesan dan pemikiran strategik melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman.
Program selama 12 minggu itu merangkumi pendedahan kepada cabaran perniagaan sebenar, kajian kes aplikasi serta pelaksanaan projek kolaboratif, yang mencerminkan situasi industri semasa, selain melibatkan elemen penting seperti tadbir urus, pengurusan sumber manusia, literasi kewangan, inovasi, transformasi digital dan kemahiran rundingan.
Sementara itu, EMP Professional direka khas untuk golongan profesional yang ingin memperkukuh keupayaan kepimpinan, dan pengurusan dalam tempoh singkat melalui pelaksanaan selama empat hari secara hibrid melibatkan sesi dalam talian, bengkel bersemuka, projek berkumpulan serta bimbingan mentor industri.
Modul program itu merangkumi enam bidang utama, iaitu kepimpinan strategik, tadbir urus, pengurusan sumber manusia, kewangan, inovasi digital dan kecerdasan buatan (AI), kemahiran rundingan serta etika dan akauntabiliti, sebelum diakhiri dengan projek impak organisasi yang memberikan nilai tambah kepada institusi atau syarikat peserta.
“Bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan, UPTM turut menjalinkan kerjasama strategik dengan pelbagai rakan industri termasuk MBSB, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Dell Technologies, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan OpenLearning,” menurut kenyataan itu.
Dalam masa sama, universiti itu turut memperkukuh penawaran akademik melalui program ijazah dan sarjana yang diintegrasikan dengan pensijilan profesional antarabangsa seperti Association of Chartered Certified Accountants (ACCA), Chartered Management Institute (CMI), SAS Institute dan Google bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan.
Inisiatif berkenaan selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 17: Partnership for Goals yang menyokong misi MARA untuk menjadikan UPTM sebagai hab akademik dan pembangunan bakat yang memenuhi keperluan industri negara.
















Tinggalkan Balasan