MAKKAH, 5 Mei — Jemaah haji Malaysia bagi penerbangan KT051 yang mendarat di Muscat, Oman susulan isu teknikal pesawat menyifatkan pengalaman itu sebagai satu ujian dalam perjalanan menuju ke Tanah Suci.
Afdzal Rusmi, 43, berkata walaupun terkejut pada awalnya namun keadaan di dalam pesawat kekal tenang sepanjang penerbangan dan penumpang hanya dimaklumkan mengenai isu enjin selepas kapal terbang selamat mendarat sekali gus mengelakkan berlakunya panik dalam kalangan jemaah.
“Alhamdulillah, semua selamat… kami hanya mendapat tahu (mengenai perkara itu) selepas mendarat… jadi, suasana dalam pesawat terkawal dan kami tak sedar pun apa yang berlaku,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Terdahulu, Bernama melaporkan bahawa pesawat MH8110 yang membawa 278 jemaah haji KT051 terpaksa melakukan pendaratan di Lapangan Terbang Muscat pada 4.11 petang semalam waktu tempatan susulan isu teknikal, dan pesawat dijadual meneruskan perjalanan ke Jeddah awal pagi Rabu dengan menaiki pesawat alternatif.
Mengulas lanjut, Afdzal mengakui terdapat perasaan bercampur-baur dirasai namun kebanyakan jemaah menerima situasi itu dengan reda.
“Kita manusia biasa, ada rasa risau tetapi kami anggap ini ujian dalam perjalanan ibadah,” katanya sambil menegaskan bahawa kejadian itu tidak menjejaskan semangat beliau untuk meneruskan perjalanan sebagai duyufurrahman atau tetamu Allah.
Afdzal turut memuji kecekapan pasukan Amal by Malaysia Airlines yang mengendalikan kebajikan jemaah dengan baik.
“Walaupun terdapat sedikit kekeliruan pada peringkat awal tetapi semua urusan termasuk penginapan dan pengangkutan berjaya diselaraskan dengan lancar.
“Sepanjang transit, jemaah ditempatkan di Hotel City Seasons, Muscat dengan kemudahan yang selesa dan penyediaan makanan yang mencukupi,” katanya.















Tinggalkan Balasan